JAGALAH SILATURAHIM SESAMA MUSLIM AGAR REZEKI SEMAKIN DIPERLUASKAN DAN IMAN SEMAKIN SEMPURNA

 

Sesungguhnya Islam adalah agama yang sempurna. Ia bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadah seperti sembahyang, puasa dan menunaikan haji. Malahan Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup, berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Oleh itu, bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia. 

Lazimnya, silaturahim yang terputus berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan disebabkan oleh harta benda, pusaka, fitnah, hasutan, dengki, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri.Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang meleraikan atau mendamaikan permusuhan itu. 

Adapun mengeratkan silaturrahim itu ialah berbuat baik kepada sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasaan mereka. Dalam hal ini, mengeratkan hubungan silaturrahim adalah perlu diutamakan kepada kaum kerabat ataupun yang ada hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbangkan dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang yang melakukan perkara itu) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya." (QS Muhammad: 22-23).

Mengapa kita perlu menjaga hubungan silaturahim ini agar sentiasa kukuh? Antara sebab utamanya adalah agar kesempurnaan iman kita semakin lengkap sebagai umat Islam dan rezeki kita semakin diperluaskan. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” (HR Bukhari).

Muslim yang taat kepada agamanya adalah Muslim yang melakukan apa sahaja perintah Allah SWT kerana ianya adalah sebahagian tanda kesempurnaan iman. Dengan menjaga hubungan sesama manusia, Allah SWT akan memberikan keredhaan yang berlipat ganda. Ini kerana Allah SWT yang tidak menyukai perpecahan dalam kalangan hambaNya. Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” (HR Bukhari).

Oleh itu, menjadi kewajipan kita mempereratkan hubungan silaturahim dan menjauhi perkara yang boleh memutuskannya. Kita akan terasa keindahan dan kebahagiaan hidup jika hubungan silaturahim ini dipelihara. Apa erti kekayaan, kedudukan dan pangkat jika hidup diisi permusuhan dengan orang di sekeliling kita. Ingatlah, silaturahim membawa kebahagiaan dan memutuskannya akan membawa kepada kecelakaan dunia dan akhirat.

Sumber: Berita Harian (4 Mac 2016)


Comments