Apabila sebut sahaja tentang amalan surah Al – Kahfi, sudah pasti ramai yang mengetahui kelebihan dalam mengamalkannya. Surah Al-Kahfi diturunkan di Makkah (kecuali ayat 28, 83 dan 101 yang diturunkan di Madinah) dan merupakan salah satu dari lima surah Mekah yang dimulai dengan “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah). Surah ini mempunyai 110 ayat, dan namanya diambil dari ayat ke-9 apabila disebut tentang orang orang yang berada di dalam gua (Kahfi). Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah al-Kahfi pada setiap malam Jumaat, itu adalah amalan yang baik dan dituntut.
Pada malam Jumaat atau hari Jumaat memang disunatkan kita membaca Surah al-Kahfi berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW yang bermaksud:
“Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Kaabah).” (HR Ad – Darimi).
Tahukah kita apakah kelebihan sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Al – Kahfi? Antara kelebihannya adalah:
1) Dipancarkan cahaya untuknya antara dua Jumaat.
2) Terselamat daripada fitnah Dajjal. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.” (HR Muslim).
3) Turunnya ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat. Pengamal surah al-Kahfi didoakan oleh 70,000 malaikat yang memohon rahmat daripada Allah S.W.T. sehingga waktu Subuh. Rahmat Allah kepada manusia datang dalam pelbagai bentuk contohnya diberi kesihatan untuk beribadah, umur yang panjang, rezeki dan sebagainya.
4) Dijauhkan dari wabak penyakit.
Islam amat mementingkan sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah walaupun ia dilihat ringkas dan sederhana. Masa yang Allah SWT berikan cukup luas untuk kita mendapatkan kurnia dan rahmatNya. Sejajar dengan keadaan itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kahfi supaya ia dapat menjadi benteng keimanan buat seorang Muslim menerusi model utamanya sendiri iaitu segolongan pemuda yang teguh keimanannya. Semoga kita mendapat rahmat dan reda Allah SWT dengan sentiasa menghidupkan amalan sunah yang diajarkan oleh ulama dengan kefahaman yang tepat dan bersesuaian dengan syarak.
Sumber: Harian Metro (14 Februari 2019)
Comments
Post a Comment