KETERLIBATAN ANAK MELAYU-ISLAM BERSAMA MOSSAD-ISRAEL PERLU DIAWASI!!! AMBIL IKTIBAR SEJARAH ANCAMAN KESELAMATAN LALU DEMI KESEJAHTERAAN MASA HADAPAN
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu yang melibatkan ancaman terhadap keselamatan negara apabila pihak PDRM membuat penangkapan terhadap sekumpulan pemuda warga Malaysia yang dipercayai membentuk sebuah gerakan khas mewakili MOSSAD, Israel memburu aset Briged Hamas al-Qassam yang berpangkalan di Malaysia. Lebih mengejutkan apabila ketua ejen risikan MOSSAD merupakan seorang wanita tempatan berusia 30an telah lama direkrut dan dilatih bagi menjalankan misi-misi jahat MOSSAD terutamanya di Malaysia.
Dalam mengulas isu tersebut, satu perkara yang boleh diambil perhatian iaitu berkenaan dengan Modus Operandi MOSSAD yang dilihat menyerupai taktikal mana-mana kumpulan pengganas antarabangsa yang pernah bertapak di Malaysia. Jika dilihat ketika era kumpulan pengganas seperti al-Maunah, Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan sebagainya, kebanyakan golongan yang terlibat adalah golongan muda termasuklah wanita dan kanak-kanak.
Oleh itu, maka tidak hairanlah jika MOSSAD merekrut dan melatih wanita Melayu-Islam untuk menjadi ketua ejen perisikan sehingga tahap elit demi menjalankan misi menumpaskan musuhnya terutamanya anggota Hamas di seluruh negara termasuk Malaysia. Secara umumnya, dapat digambarkan bahawa motif para pegganas Islam (JI, KMM dll) kononnya adalah untuk memperjuangkan agama Islam, maka tidak hairanlah kecenderungan anak-anak muda Melayu-Islam untuk terpengaruh menganggotai kumpulan pengganas itu adalah tinggi atas asbab ‘jihad’.
Namun, berbeza dengan kumpulan anak muda yang terlibat dengan perjuangan MOSSAD ini. Semuanya adalah bermotifkan kewangan dan habuan dunia semata. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa MOSSAD di bawah pimpinan Israel itu adalah musuh utama Islam dan sangat terkenal dengan kekejaman dan tidak berkeperimanusiaan. Melihat perkembangan isu gangguan keselamatan di Malaysia semenjak tahun 2018 semakin berkembang menunjukkan bahawa ancaman serangan pengganas ini amat serius dan membimbangkan.
Justeru itu, langkah-langkah pembendungan bagi menghadapi ancaman kumpulan pengganas terutamanya di rantau ini termasuklah Malaysia tidak boleh dipandang remeh dan diambil sikap sambil lewa kerana ancamannya adalah nyata sehingga mampu menggugatkan keselamatan negara. Ancaman yang paling membahayakan adalah mereka yang terlibat dengan MOSSAD ini akan membuat satu jaringan sama ada di lapangan mahupun melalui sosial media bagi menjayakan misi mereka tanpa mempedulikan keselamatan masyarakat awam atau undang-undang semasa berada di negara orang.
Seluruh umat Islam terutamanya berbangsa Melayu perlu sedar bahawa darah kemelayuan yang terjamin dengan agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah sangat mahal untuk digadaikan maruah agama dan bangsa itu semata kerana habuan kewangan dan kepentingan diri sahaja. Sayangilah negara demi kesejahteraan diri dan keluarga pada masa hadapan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia
Comments
Post a Comment