MURTAD ADALAH JENAYAH!!! TERKELUARNYA SESEORANG DARIPADA ISLAM DAN TERPUTUS HAK-HAKNYA SEBAGAI SEORANG MUSLIM


Murtad merupakan jenayah akidah yang bukan sekadar mencemar imej Islam, bahkan menyebabkan lenyapnya identiti diri sebagai Muslim yang merdeka dan syumul, lalu terperangkap dalam identiti yang tidak diiktiraf oleh Allah SWT.


Kesannya, Seseorang Muslim yang murtad akan dinafikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta dan kekeluargaan. Antaranya termasuklah larangan penggunaan harta. Harta milik mereka perlu diletakkan di bawah pengawasan pemerintah dan digunakan untuk kemaslahatan umat. Sekiranya dia kembali kepada Islam, maka tegahan tersebut terbatal dan hartanya dikembalikan semula. Sekiranya tidak bertaubat, harta tersebut dianggap bukan lagi miliknya sejak permulaan tarikh murtad.


Perbuatan murtad juga mengakibatkan terputusnya hak pewarisan antara pelaku murtad dengan keluarganya. Sekiranya salah seorang ahli keluarganya meninggal dunia dan dia masih murtad, maka dia tidak dapat mewarisi harta tersebut berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidak mewarisi orang Muslim akan orang kafir, dan tidak mewarisi orang kafir akan orang Muslim.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam hal kekeluargaan pula, seseorang yang murtad akan terpisah dengan isteri atau suami, dan akad perkahwinan tersebut akan tergantung. Sekiranya pelaku murtad itu kembali kepada Islam dalam tempoh idah, maka dia boleh bersama-sama semula dengan isteri atau suami tanpa akad yang baharu dan tanpa rujuk. Namun begitu, sekiranya dia berterusan murtad sehingga tamat idah, maka akad perkahwinan itu terfasakh bermula tarikh murtadnya. Sekiranya selepas itu, dia ingin kembali kepada isteri atau suami, maka hendaklah disatukan dengan akad dan mahar yang baharu.


Akhir sekali dalam hal pengurusan jenazah. Hak pengurusan jenazah secara Islam dan hak pengebumian di perkuburan Islam akan terbatal selama mereka murtad. Oleh itu, peruntukan undang-undang murtad di Malaysia wajar diperkasakan, tetapi hal ini hendaklah ditangani dengan hikmah agar tidak menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk bagi mengekalkan keharmonian hidup.


Sumber: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Comments