SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1444 HIJRAH - AKHLAK RASULULLAH SAW MENJADI TAULADAN BAGI UMMAH SEPANJANG ZAMAN
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Lalu Saidatina Aisyah RA menjawab:
“Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (HR Muslim).
Apa yang dimaksudkan dengan akhlak Rasulullah SAW adalah al – Quran? Menurut al-Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan dengan akhlak Nabi itu adalah al-Quran ialah Baginda beramal dengan al-Quran, berhenti disempadan yang ditetapkan, beradab dgn adab al-Quran, mengambil iktibar darinya, bertadabbur dan tilawah yg baik. Manakala menurut Ibn Rajab pula, yang dimaksudkan dengan akhlak al-Quran itu ialah Baginda beradab dengan adab al-Quran, berakhlak dengan panduan al-Quran, maka apa sahaja yang dipuji oleh Allah dalam al-Quran maka itulah keredaan Baginda, dan apa sahaja yang dikeji oleh al-Quran, maka itulah kemarahan Baginda.
Akhlak Rasulullah SAW meliputi sifat dan akhlak mulia seperti malu, mulia, berani, menepati janji, ringan tulang, cerdas, ramah, sabar, memuliakan anak yatim, suka tersenyum, jujur, pandai menjaga diri, pemaaf dan berjiwa bersih. Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat mulia. Ia mencakupi perkara akidah, syariah dan termasuklah juga panduan dan bimbingan ke arah membina akhlak mulia yang menjadi tuntutan agama kita. Semasa permulaan dakwah Islam, Rasulullah SAW bukan sahaja mengkhilaf jiwa umatnya dengan aspek tauhid bahkan Baginda juga menghias dan membangunkan nilai akhlak mulia dalam diri umat Baginda. Ini seperti dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Baginda SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (HR Ahmad).
Begitu indah dan mulianya akhlak Rasulullah SAW dan sudah sewajarnya kita sebagai umat Islam mencontohi akhlak baginda. Janganlah dibiarkan keindahan dan kemuliaan akhlak Baginda itu sekadar menjadi bahan bacaan ataupun cerita sahaja, akan tetapi akhlak Baginda itu hendaklah dijadikan sebagai suluh dan suri teladan sekaligus mengaplikasikannya dalam kehidupan kita seharian. Perlu diketahui, bahawa berakhlak mulia dan berpekerti baik itu merupakan faktor utama dalam membina umat atau membangun satu-satu bangsa.
Oleh itu, tatkala kita meniti arus pembangunan, maka pembentukan akhlak yang mulia sayugia jangalah diketepikan. Ini kerana dalam setiap pembangunan, antara faktor yang amat penting ialah jenteranya, iaitu sumber tenaga manusia yang menggerak dan melaksanakan pembangunan itu sendiri. Meskipun telah tersedia segala perasarana mahupun peruntukkan bagi melaksanakan pembangunan tersebut, akan tetapi jika jentera dan penggerak itu sendiri tidak memiliki ataupun tidak mempunyai akhlak yang mulia seperti keikhlasan, kejujuran, bertanggungjawab dan berdedikasi, maka akan timbullah kepincangan yang mengakibatkan kemajuan dan pembangunan itu tergendala, lambat terlaksana ataupun kekal sama sekali. Marilah kita menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai ikutan dan tauladan kerana akhlak Baginda tetap kekal baik sepanjang zaman.
“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment