USAH TERLALU CEPAT MENGHUKUM KE ATAS SESUATU PERKARA YANG TIDAK PASTI - SEBALIKNYA SIASAT DAN TEGURLAH SECARA BAIK

 

Mutakhir ini, banyak sekali video-video yang beredar di laman sosial yang tidak diketahui kesahihannya. Ada sesetengah video itu disebarkan cuma separuh jalan dan tidak diketahui apa penyebab di sebaliknya. Apabila hal itu berlaku, maka mudahlah para netizen untuk menjatuhkan hukum terhadap perkara tersebut. Bukankah dalam Islam telah diajarkan untuk menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu perkara sebelum meletakkan konklusinya? Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (QS al – Hujurat: 6).

Muslim yang baik ialah mereka yang sentiasa memberi nasihat dan bersedia untuk menerima nasihat demi kebaikan bersama. Namun kadang-kadang nasihat yang diberikan bukan mudah untuk diterima oleh sebahagian Muslim mungkin disebabkan ungkapan nasihat yang kurang berkesan ataupun nasihat yang diberikan tidak kena pada tempat dan masa yang sesuai. 

Setiap Muslim perlu sedar bahawa kehidupan dunia sentiasa menjadi medan ujian buat kita. Sebahagian kita diuji dengan dugaan yang besar sehingga menyebabkan seseorang mungkin terjebak dengan hawa nafsu dan tersalah memilih jalan hidup. Untuk bangkit keluar daripada cengkaman hawa nafsu dan amalan yang buruk bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi sebahagian Muslim yang rapuh imannya. Namun, kita perlu menginsafi bahawa perjuangan mereka untuk kekal di dalam ketaatan terhadap agama memerlukan mujahadah yang sangat kuat.

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai Muslim untuk memberikan nasihat kepada saudaranya dan bukan dengan mudahnya menjatuhkan hukum. Ia merupakan tindakan yang baik namun natijahnya belum tentu berhasil. Ini kerana kita sebagai Muslim mampu untuk menyampaikan nasihat, namun hidayah milik Allah SWT yang mengkehendaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Kita sebagai Muslim percaya terlalu banyak hikmah yang berlaku di dalam kehidupan dunia ini buat manusia. Banyak sebab dan musabab yang yang berlaku sehinggakan sesuatu yang berlaku itu tidak mampu difahami oleh kita, namun Allah SWT jua yang mengetahui hakikat kehidupan ini. Firman Allah SWT:

 "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS al – Baqarah: 216).

Di dalam melaksanakan tanggungjawab menasihati sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada hamba-Nya agar terus istiqamah membuat kebaikan dan kebajikan, ia mengkehendaki kita semua untuk sentiasa memanjatkan doa pertolongan dan kekuatan buat saudara kita. Setelah nasihat baik diberikan, maka kekuatan doa merupakan senjata terakhir bagi menjadi benteng pertahanan dan kekuatan buat saudara kita yang diinginkan kebaikan buatnya. Bagi mencapai kesempurnaan hidup bersyariat memerlukan Muslim saling bantu-membantu ke arah kebajikan dan takwa dan bukan membantu dalam perkara yang menambahkan dosa dan permusuhan. Muslim yang baik ialah mereka yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada saudara kita yang ingin berusaha untuk membiasakan dengan jalan syariat yang benar namun setiap orang mempunyai latar yang berbeza. 

Sumber: Harian Metro (1 Oktober 2022)


Comments