AGAMA ITU ADALAH NASIHAT : NASIHAT – MENASIHATI SESAMA UMAT ISLAM ITU PENTING DALAM MENGUKUHKAN UKHUWAH ISLAMIYYAH

 

Nasihat menurut agama Islam menunjukkan bahawa Islam itu merupakan cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan seharian umatnya. Nasihat yang dilaksanakan sememangnya bertujuan untuk memperbaiki kesilapan agar dapat membuat perubahan dari sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang baik. Jika diteliti makna nasihat, ianya berasal dari bahasa arab ‘Nasaha’ yang bererti menapis iaitu murni serta bersih dari segala kotoran dan turut membawa makna menjahit. Oleh itu, sesuatu nasihat yang ingin diberikan kepada seseorang hendaklah menggunakan perkataan yang baik dengan menapis dahulu kata-kata yang ingin digunakan agar dapat diterima oleh orang yang dinasihati itu. Tanda agama Islam merupakan sebuah agama nasihat-menasihati dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW:

“Agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Ia bersabda: Bagi Allah dan bagi KitabNya dan bagi RasulNya dan Imam-Imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).

Agama ini terletak pada nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan hak rakyat. Agama Islam merupakan sebuah agama yang berbentuk nasihat-menasihati menerusi syariat dan hukum-hukum yang terkandung dalam Al-Quran serta Hadis. Jika ingin menasihati seseorang, hendaklah menggunakan bahasa yang sesuai dan betul melalui intonasi suara yang tepat supaya orang yang dinasihati itu tidak berasa tersinggung.  Oleh itu, amalan nasihat-menasihati bukan hanya diberikan ketika seseorang itu melakukan kesalahan sahaja malah umat Islam harus sentiasa mengamalkan nasihat-menasihati dan tolong-menolong agar dapat ingat-mengingati kearah kebajikan dan kebaikan antara satu sama lain. Ia seperti seruan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (QS al – Maidah: 2).

Budayakanlah amalan nasihat-menasihati dan tegur-menegur dengan kata-kata yang lemah-lembut dan berbudi-bahasa. Ini kerana nasihat –menasihati sesama umat Islam itu penting dalam mengukuhkan ukhuwah Islamiyyah. Berilah nasihat dan teguran dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. dan dengan cara yang penuh berhemah agar nasihat dan teguran dapat diterima dengan hati yang terbuka. Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturrahim antara kita.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)


Comments