‘GUNTING DALAM LIPATAN’ – MUSUH ISLAM YANG MENYESATKAN



Musuh Islam selama-lamanya tidak akan membenarkan Islam terus berkembang dengan aman. Mereka akan lakukan apa sahaja demi memastikan kehendak wahyu itu tidak menewaskan kehendak hawa nafsu yang menjadi pegangan mereka. Lebih merbahaya apabila musuh Islam itu adalah terdiri dari kalangan umat Islam itu sendiri.


Golongan tersebut kebanyakannya adalah golongan sesat yang berselindung disebalik ‘nama’ Islam dalam memastikan hawa nafsu mereka terus menang. Seperti mana golongan yang hanya mengagungkan al-Quran sebagai pegangan hidup tanpa menghiraukan hadis, ijma’ dan qias.


Mereka yang digelar golongan Quranis ini telah dikatakan oleh ulama sejak dahulu sebagai kelompok yang membawa kefahaman songsang dan bukanlah daripada umat Islam. Ibn Hazm menyebut: “Jika seseorang itu berkata kami tidak akan mengambil kecuali apa yang ada dalam al-Quran sahaja maka dia telah menjadi kafir pada sisi ijma’ umat Islam”.


Kewujudan golongan ini bukanlah baru, mereka menggunakan hujah yang sama berulang kali walaupun hujah mereka itu jelas lemah. Keadaan ini menunjukkan apa yang dicari oleh mereka dalam hujah-hujahnya bukanlah kebenaran tetapi ianya adalah kefahaman yang cuba disuntik ke dalam jiwa umat Islam bagi merosakkan agama Islam. 


Mereka inilah yang dikatakan sebagai musuh Islam yang cuba merosakkan Islam daripada dalam. Kelompok ini yang turut wujud di Malaysia cuba mempertikaikan solat jumaat, menolak hudud dan pelbagai perkara lagi menggunakan asas kononnya ianya tidak ada di dalam al-Quran. Hakikatnya golongan ini bukanlah memperjuangkan al-Quran seperti yang mereka katakan, tetapi mereka ini adalah golongan yang cuba meruntuhkan syariat.


Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Comments