Iblis dilaknat Allah SWT kerana bersikap takbur menolak kebenaran dan memperlekehkan Nabi Adam AS. Iblis enggan sujud memberi penghormatan kepada Adam AS walaupun itu arahan Allah SWT kerana iblis merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam AS. Sebagai umat Islam, mempunyai sifat takbur itu sangat dilarang dalam agama dan juga kehidupan seharian. Takbur itu ialah sifat memandang rendah, jijik dan hina kepada orang lain terutamanya kepada orang yang kurang bernasib baik dan miskin dari segi hartanya, ilmunya atau keturunannya. Amat merbahaya apabila seseorang sudah mempunyai sifat takbur di dalam dirinya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur." (QS al - Nahl: 23).
Jika hendak tengok kualiti diri, lihatlah kualiti hati. Apabila hati penuh dengan sifat rendah hati seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW, baru hidup seorang insan itu berkualiti dunia dan akhirat. Sifat rendah hati atau disebut sebagai tawaduk adalah sifat yang terpuji dan barangsiapa yang memiliki sifat tersebut Allah SWT akan mengangkat darjatnya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah Allah itu menambahkan pada diri seseorang sifat pemaaf, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seorang itu merendahkan diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘azza wajalla.” (HR Muslim).
Jika hendak tahu sama ada kita ini adalah seorang yang rendah hati atau tidak, nilai diri adakah kita ini selalu membuat orang di sekeliling kita bahagia atau selesa dengan kehadiran kita ataupun tidak. Didik hati kita agar jangan berasa hebat tentang semua perkara. Tentukan kita jangan mengecilkan hati orang, terutama dalam keadaan hendak cepat melaksanakan tugas. Ada kala ketika berinteraksi banyak terbuat silap yang menyebabkan orang tersinggung. Jika kita berjaya melakukan sesuatu dan terserlah kehebatan itu, cepat pulangkan rasa kehebatan kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT untuk menghilangkan rasa ego serta memadamkan rasa berjasa kepada orang. Kita mesti didik hati, apabila menolong orang sebenarnya bukan kita yang tolong, tetapi Allah SWT yang tolong mereka melalui kita. Cukuplah kita berasakan segala yang berlaku di bumi Allah SWT ini adalah dengan kekuasaanNya, bukan kerana kehebatan kita. Allah SWT berfirman:
“Dan rendahkanlah dirimu kepada orang Mukminin yang mengikutimu.” (QS al-Hijr: 88).
Ingatlah, jangan sesekali berasa hebat bagi mendidik diri sentiasa berasa rendah hati. Didiklah hati supaya lembut dan khusyuk melakukan sesuatu kebaikan hanya dengan niat mendapat reda Allah SWT dan Dia menerima amalan kita. Itulah tanda kehebatan iman seorang Muslim.
Sumber: Berita Harian (9 Disember 2017)
Comments
Post a Comment