UMAT ISLAM DINASIHATKAN UNTUK MENJAUHI SIFAT TERGESA-GESA DAN SENTIASA BERSABAR DALAM SEMUA PERKARA TERUTAMA SOAL IBADAH

 

Sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia apabila ada sebilangan di antara mereka yang melakukan perkara dengan tergesa-gesa, tidak kiralah sama ada ianya berkaitan dengan urusan hidup mahupun urusan ibadah. Ada kalanya kita tergesa-tergesa dalam melakukan sesuatu. Kadangkala hal-hal lain terpaksa diabaikan untuk mencapai sesuatu itu. Ia memang lumrah sikap manusia dalam waktu-waktu tertentu. Islam telah mengajar umatnya supaya bersabar dan tidak bertindak tergesa-gesa dalam sesuatu perkara. Dalam bahasa Melayu ertinya sama dengan perkataan terburu-buru, gopoh gapah atau cepat-cepat dalam melakukan sesuatu perkara. Bahkan umatnya disarankan untuk bertenang atau tidak tergesa-gesa dalam membuat sesuatu tindakan. Rasulullah SAW bersabda:


"Sesungguhnya sikap tergesa-gesa itu daripada syaitan." (HR At – Tirmidzi).


Sikap tergesa-gesa yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut merupakan antara sifat mazmumah atau dikeji oleh agama. Hal ini kerana implikasi dan kesannya begitu besar terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Contohnya dalam percakapan, apabila seseorang yang mengungkap perkataan yang kurang cermat disebabkan tergesa-gesa, maka ia mampu mengguris hati seseorang lain atau menyebabkan kaedaan menjadi panik atau mengubah keputusan atau kedudukan sesuatu perkara, tanpa berfikir panjang.


Islam mengajar kita agar bertenang dan bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Sehinggakan dalam ibadah, umat Islam disuruh untuk tidak tergesa-gesa dalam melaksanakannya supaya ia dapat mendatangkan fokus yang akhirnya akan menatijahkan sesuatu hasil yang baik dan sempurna. Misalnya dalam solat, apabila seseorang melakukan dalam keadaan gopoh gapah, maka orang yang bersolat itu pasti tidak berada dalam keadaan khusyuk, malah mungkin tergolong dalam kumpulan orang yang lalai. Firman Allah SWT:


"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang bersolat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya." (QS Al – Ma’un: 4-5).


Justeru, setiap muslim hendaklah sentiasa bersikap tenang. Sikap ini amat diutamakan dalam melaksanakan ibadah. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketakwaan kepada Allah SWT dalam hatinya. Sabda Rasulullah SAW:


"Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." (HR Bukhari).


Sumber: Sinar Harian (7 Mac 2019)

Comments