USAH TERPANCING PROVOKASI - BERSATU-PADU DAN BERSAMA-SAMA MEMELIHARA KESTABILAN SERTA KEHARMONIAN NEGARA

 

Keputusan siapa bakal menjadi pemimpin utama negara telah pun diketahui. Walau siapapun dia, kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menerima dengan hati yang terbuka. Pada ketika ini, sudah tentu banyak provokasi-provokasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan rakyat. Bukankah agama Islam menganjurkan kepada setiap penganutnya agar sentiasa bersatu-padu? Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Apa yang boleh dikatakan, usah terpancing dengan pelbagai provokasi yang sengaja dicetuskan sebaliknya kita sebagai rakyat harus bersatu hati dan berpegang teguh kepada ukhuwah yang terjalin. Islam sangat menentang segala bentuk kezaliman, penindasan, kekejaman dan keganasan apatah lagi perpecahan. Tidak ada manfaatnya jika umat Islam sentiasa bermusuhan kerana permusuhan membuka pintu kelemahan serta kehancuran. Islam menganjurkan sifat kasih sayang dalam hidup bermasyarakat bagi mewujudkan keharmonian dan keamanan.

Ingatlah, Islam adalah agama yang sangat mengambil peduli terhadap kehidupan berkasih sayang dan perpaduan sesama manusia serta sentiasa mengajar manusia untuk berlaku adil dalam semua perkara walaupun berbeza budaya, agama dan keturunan. Jangan sesekali terpedaya dengan provokasi yang diwar-warkan dan dengan senagaja mencetuskan provokasi demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara. Bersatu-padulah sesama kita demi keamanan negara Malaysia yang tercinta.  Sabda Rasulullah SAW:

"Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi." (HR Muslim).

 Sumber: Harian Metro (29 November 2018).


Comments