ZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT DALAM SETIAP NIKMAT HIDUP KERANA IANYA MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN
Syukur adalah salah satu sikap terpuji yang amat disenangi oleh Allah SWT. Ini kerana rasa bersyukur itu adalah tanda keimanan seseorang Muslim kepada Tuhannya. Allah SWT telah memberi kepada kita nikmat yang terlalu banyak dan segala nikmat yang dikurniakan kepada kita semua wajib disyukuri. Antara nikmat-nikmat tersebut ialah; nikmat hidup, nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan, nikmat kesihatan, nikmat ilmu, nikmat keamanan dan pelbagai nikmat lagi yang tidak mampu dihitung satu persatu oleh kita semua. Ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.” (QS An – Nahl: 18).
Bersyukur adalah sebahagian dari titah perintah Allah SWT kepada kita semua, Allah SWT juga telah menjelaskan bahawa, salah satu tanda kesyukuran para hamba kepadanya adalah dengan mentauhidkannya dan tidak mensyirikkanya dengan sesuatu. Bagaimanakah cara untuk kita mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada kita? Terdapat beberapa cara untuk kita mensyukuri nikmat-nikmat tersebut, antaranya ialah:
1) Mensyukuri nikmat dari Allah dengan hati, iaitu dengan cara kita meneguhkan keimanan atau tauhid, menjauhi kesyirikan dan mengakui dengan penuh keimanan di dalam hati, bahawasanya segala nikmat tersebut datang dari Allah SWT.
2) Mensyukuri nikmat dari Allah SWT dengan lisan, yakni dengan cara kita memperbanyakkan pujian serta mengingati-Nya dengan zikir-zikir dan doa-doa yang sahih, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan salah satu contoh cara bersyukur melalui lisan adalah dengan cara kita mengucapkan hamdalah, yakni dengan memuji Allah setelah menikmati makanan dan minuman. Ini sepertimana yang di sebut oleh Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah (SWT) redha (yakni sangat suka) kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sesudah makan dan minum.” (HR Muslim).
3) Mensyukuri nikmat dari Allah SWT dengan menggunakan anggota badan. Salah satu cara bersyukur kepada Allah SWT dengan menggunakan anggota badan ialah dengan kita melaksanakan sujud syukur setelah mendapat sesuatu nikmat dari Allah SWT.
Semoga kita mampu menjadi manusia yang paling bahagia dengan menjadikan nikmat-nikmat yang kita kecapi sebagai cara kita mencari redha Allah SWT. Maka dari itu, marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT dalam setiap nikmat hidup kerana ianya merupakan tanda kesempurnaan iman.
Sumber: Jabatan Mufti Perlis
Sumber: Jabatan Mufti Perlis
Comments
Post a Comment