AJARAN TARIKAT PADA HAKIKATNYA ADALAH BENAR DI SISI ISLAM, NAMUN LEBIH BANYAK TELAH DISELEWENGKAN OLEH PENGAMAL AJARAN SESAT


Kebanyakan ajaran sesat berlaku dalam empat bentuk utama iaitu ajaran tarikat dan kebatinan, perbomohan dan persilatan, khurafat dan tahyul serta penyelewengan pemikiran. Daripada empat perkara tersebut, ajaran tarikat dan kebatinan adalah bentuk yang paling kritikal. Ia banyak berkembang menerusi amalan tarikat tasawuf.
 
Sebagai contoh, seorang lelaki digelar ustaz Wan Hizam yang aktif di bahagian utara tanah air dan mempunyai pengikut di sosial media seramai 72 ribu pengikut. Antara intisari kandungan ajarannya adalah berkenaan dengan ilmu makrifat kepada Allah iaitu tarikat yang menafsirkan hal-hal berhubung dengan kewujudan Allah dan menafsirkan al-Quran berdasarkan akal semata-mata. 

Ajaran tarikat batiniah yang diamalkan dan disampaikan kepada masyarakat adalah dengan menganggap semua perkara selain Allah itu tidak wujud. Allah itu menjelma dalam makhluk seperti pada wajah manusia, binatang, pokok, wajah guru dan seumpama dengannya. Allah telah bersatu dengan makhluk, memisahkan hakikat (akidah) dengan syariat sehingga membolehkan seseorang terlepas daripada syariat Islam, tidak perlu solat, dajal itu tidak wujud, yang ada hanya nafsu jahat, maksud syurga adalah hati yang mengigati tuhan, bidadari dan sungai madu dalam syurga tidak wujud, Abu Jahal kekasih Allah dan pelbagai lagi penyelewengan yang ditaburkan.

Ajaran tarikat kebatinan ini telah difatwakan sesat oleh kebanyakan Majlis Fatwa Negeri-negeri dan JAKIM atas alasan ajaran tarikat kebatinan ini tidak membezakan antara tauhid dan syirik, membatalkan syariat (tidak perlu ikut syariat) dan mentafsirkan al-quran tanpa panduan ilmu tafsir yang betul kecuali menggunakan akal serta mempersendakan ajaran Islam itu sendiri atas andaian kerohanian. Hal ini seperti dijelaskan di atas. 

Sumber: Majalah al-Ustaz, Isu No. 18, Telaga Biru Dan Malaysia Gazzete, 15 DIS 2021


 

Comments