DEKATKANLAH DIRI KEPADA AL-QURAN KETIKA SUSAH DAN SENANG KERANA AL- QURAN ADALAH SEBAIK-BAIK RUJUKAN DAN PENYELESAIAN
Al – Quran al-Karim anugerah khas Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Kitab suci ini menjadi satu-satunya mukjizat yang masih ada dan dijamin berkekalan hingga hari kiamat. Allah mengekalkan al-Quran agar manusia zaman-berzaman dapat bersua dengan pedomanNya. Dengan status ibu segala kitab samawi, al-Quran menjadi risalah agama paling lengkap, sarat dengan ilmu dan memuatkan pelbagai garis panduan bidang kemanusiaan. Jika manusia meninggalkan al-Quran, bererti manusia meninggalkan kebenaran.
Sebagai orang yang beriman, kita perlu medekatkan diri kita kepada al – Quran kerana kitab suci itu adalah sebaik-baik petunjuk yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Bukan sahaja ketika kita di dalam masalah, malah waktu terluang pun kita digalakkan untuk membaca al – Quran dan memahami setiap maksud dari ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dijadikan kitab bacaan dan hafalan semata-mata. Sebaliknya, Allah SWT mahukan umat manusia menjalani kehidupan dunia berpandukan dasar dan nilai yang terkandung di dalamnya. Ini seperti firman Allah SWT:
“Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.” (QS al-Jaatsiyah: 20).
Al-Quran adalah hidayah dan petunjuk dalam pelbagai persoalan kehidupan manusia. Ia memberi panduan mengenai dasar asasi dan utama persoalan dalam setiap bidang kehidupan sebagaimana Allah menugaskan Rasulullah SAW memberi keterangan yang lengkap. Mendekati al-Quran adalah semulia-mulianya amalan. Proses mendekatinya dapat dilakukan seperti mempelajari dan mengajarkan al-Quran. Sabda Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (HR Bukhari).
Sebagai Muslim yang berakidah bersih, perlu sedia memahami bahawa al-Quran adalah kalam Ilahi yang bebas dan berlainan dengan kalam manusia. Al-Quran datang untuk memujuk jiwa insan agar berpaut kepada kebenaran Tuhan dan menggesa insan berpisah dengan jalan yang merosakkan kehidupan. Muslim yang berakidah murni juga perlu menyedari bahawa menyukai al-Quran bukan sesuatu perkara yang sia-sia. Allah menyediakan pahala dan sebaik-baik balasan terhadap pendamping al-Quran.
Demi mendapatkan reda Allah, marilah kita selaku Muslim mendekati al-Quran dengan segala tuntutan. Berbekalkan kaedah asas ini, umat Islam boleh melakukannya secara berperingkat. Inilah kaedah yang sedia dimulakan alim ulama dan salaf al-saleh, al-Quran benar-benar dijiwai. Tiada erti putus, selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Sabda Rasulullah SAW:
"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujah (limau), rasanya enak dan baunya wangi.” (HR Bukhari).
Sumber: Harian Metro (3 Julai 2015)
Comments
Post a Comment