HARI JUMAAT ADALAH PENGHULU SEGALA HARI - HARI YANG TERBAIK DAN MUSTAJAB UNTUK BERDOA

 

Ramai yang mengetahui bahawa hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri.” (HR Ibnu Majah).

Namun, tanpa kita sedari bahawa hari Jumaat juga merupakan hari yang terbaik dan mustajab untuk kita sebagai umat Islam memohon doa kepada Allah SWT. Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara imam duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat Jumaat atau pada akhir waktu Asar. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: 

“Di hari Jumaat terdapat suatu waktu apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas Asar.” (HR Ahmad).

Oleh itu, manfaatkanlah pada waktu-waktu tersebut di atas sejadah selepas solat. Berdoalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh agar Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita dan mengabulkan setiap permintaan yang dipinta. Banyakkanlah berdoa, muhasabah diri dan lakukan sebanyak mungkin amalan dan sunnah Rasulullah SAW dengan sebanyak mungkin bagi menggapai redha Illahi. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments