Mutakhir ini, kita telah menyaksikan pelbagai isu dan kontroversi yang melanda negara ini hingga menyebabkan berlakunya perbalahan yang besar. Mengapa perlu ada perbalahan dalam sekecil-kecil perkara? Ini ditambah lagi dengan kepesatan teknologi multimedia dan tumbuhnya pelbagai aplikasi di media sosial menyebabkan sesuatu perkara itu menimbulkan pertikaian yang tidak jelas. Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama.
Allah SWT mengingatkan, sebarang perilaku yang boleh menyakiti orang mukmin tanpa kesalahan yang mereka lakukan boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dilaknat Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.” (QS al – Ahzab: 58).
Cukup, hentikanlah perbalahan sesama Muslim. Sampai bila kita sesama Muslim hendak berbalah? Tahukah kita bahawa apabila sesama Muslim berbalah akan ada pihak yang bersorak sorai dengan perpecahan kita? Ya, musuh-musuh Islam sangat suka akan perpecahan para kaum Muslim dan mereka akan menggunakan peluang ini untuk menjalankan “jarum halus” untuk memecahkan lagi ukhuwah sesama umat Islam. Sabda Rasulullah SAW:
"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).” (HR Muslim).
Ingatlah, orang Islam itu bersaudara. Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain, apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.
Semaikanlah sifat kasih dan sayang terhadap sesama Muslim agar ukhuwah kita kian utuh. Teruskanlah memelihara keharmonian dan kebersamaan di kalangan kita agar negara kekal harmoni dan sejahtera.
Sumber: Berita Harian (13 Mac 2022)
Comments
Post a Comment