Kehidupan kita didunia ini tidak terlepas dari menerima ujian dan dugaan daripada Allah SWT samada berbentuk kesenangan atau kesusahan. Ada kalanya ujian yang diberikan itu membuat kita berasa gembira dan ada kalanya membuat kita berasa marah dan tidak tenteram.
Salah satu sifat yang dianjurkan kita untuk menjauhinya ialah sifat marah. Sifat marah ialah berasa panas hati kerana sesuatu sebab tertentu seperti tersinggung perasaan, dihina, ditipu, dicerca, difitnah dan seumpamanya. Tidak dinafikan bahawa dalam setiap diri manusia pasti ada sifat marah, namun kemarahan itu perlulah dikawal dan ada batasnya. Bahkan, Rasulullah SAW juga melarang kita daripada bersikap panas baran dan sentiasa mahu menghamburkan kemarahan kepada sesiapa sahaja. Larangan ini telah diulang oleh baginda nabi beberapa kali. Di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
seorang laki-laki berkata kepada Nabi, "Berilah aku wasiat?" Beliau bersabda,"Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi kata-katanya, beliau tetap bersabda,"janganlah kamu marah." (HR Bukhari).
Di dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW juga turut bersabda:
“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari dan Muslim).
Apabila syaitan mula membisikkan dengan bisikan kejahatan disebabkan seseorang yang tidak dapat menahan kemarahannya maka seseorang itu akan melakukan tindakan-tindakan di luar batasan seperti memaki hamun, memukul dan ada yang sampai ke tahap membunuh disebabkan kemarahan yang tidak dapat dibendung.
Oleh itu, untuk mengelakkan diri dari bersifat marah, maka kita hendaklah sentiasa menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang menjadi punca kepada timbulnya kemarahan itu. Kita hendaklah sentiasa mengawal kemarahan dan menanamkan sifat rendah diri serta bersedia memaafkan kesalahan orang lain. Jika ada orang yang membuat kita marah kita hendaklah bersabar, janganlah kita berdendam dan bermusuhan, apatah lagi untuk memutuskan hubungan silaturahim.
Sesungguhnya menjauhkan diri daripada bersifat marah itu boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang dikeji oleh syarak. Agama kita mahukan umatnya bersatu-padu, hidup bersaudara, berkasih-sayang, dan menganjurkan umat Islam untuk menjauhi perpecahan, perselisihan dan permusuhan yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran. Oleh itu, jauhilah sifat marah, mudah-mudahan dengan demikian kita akan menjadi umat Islam yang bersatu padu, kuat dan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Firman Allah SWT:
“Dan juga bagi orang-orang yang berjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan”. (QS Asyura: 37).
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB).
Comments
Post a Comment