MINDA UMAT ISLAM DIJAJAH FAHAMAN LIBERAL TANPA DISEDARI SYARIAT DAN AGAMA TERGADAI


Ibarat menjadi adat dan normalisasi dunia apabila meletakkan negara Barat sebagai penanda aras kemajuan dan kemodenan. Dari segi gaya hidup, teknologi, pendidikan, ekonomi malah fahaman anutan turut diikuti tanpa sempadan semata-mata untuk mencapai ‘piawaian’ kemodenan yang ditetapkan Barat. 


Oleh sebab itu, apabila Barat memperkenalkan fahaman liberal yang menegakkan hak kebebasan dan hak kesaksamaan, masyarakat dunia termasuk yang beragama Islam turut mahu menegakkan fahaman ini demi mengejar kemodenan. Kewujudan fahaman Islam liberal menunjukkan bahawa umat Islam sebenarnya tanpa sedar telah terpengaruh dengan ideologi Barat dan tanpa sedari minda telah ‘dijajah’ sedikit demi sedikit.


Baru-baru ini Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Menghormati perkahwinan iaitu undang-undang melindungi perkahwinan sejenis. Dikhuatiri perkara ini turut menganggu-gugat pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia memandangkan peningkatan masyarakat Melayu-Islam berfahaman liberal dek kerana Islam dikatakan menyekat kebebasannya, kolot dan ketinggalan. 


Bukannya tidak ada kes LGBT di Malaysia yang melibatkan Melayu-Islam. Dikhuatiri apa yang berlaku di Barat menjadi titik tolak tercetusnya semangat untuk sama-sama menuntut hak-hak tersebut. Justeru itu, pemimpin dan pengamal undang-undang perlu memainkan peranan penting dalam hal ini dalam menyekat apa-apa gerakan mahupun fahaman yang boleh menganggu gugat agama dan umat Islam itu sendiri.


Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- 2022 dan The Merdeka Times – 9 DIS 2022

Comments