MUSIBAH BANJIR DI SEMENANJUNG MALAYSIA - SABAR DAN REDHA DALAM MENGHADAPI UJIAN ALLAH SWT

 

Mutakhir ini, rakyat Malaysia sedang dilanda kedukaan akibat dua tragedi yang begitu dasyat melanda negara baru-baru ini. Tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang telah mengorbankan banyak nyawa dan juga musibah banjir yang melanda di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Ini sememangnya ujian yang berat daripada Allah SWT buat kita semua, namun sebagai umat Islam apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa bersabar dan redha atas musibah yang melanda ini. Ini adalah ketetapan dari Allah SWT seperti dalam firmanNya:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar". (QS al – Baqarah: 155).

Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti musibah banjir ini amat perlu kepada seorang hamba Allah SWT. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada’ dan qadar Allah SWT, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi kesakitan yang dialami. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 yang bermaksud:

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Justeru, bersama-sama kita terus bermunajat, bertaubat dengan memperbanyakkan istighfar, sentiasa menuruti nasihat serta arahan daripada pemerintah dan bersabar dalam menghadapi musibah ini. Kita perlu yakin bahawa setiap yang berlaku adalah di atas kehendak Allah SWT. Apabila Allah SWT mengatakan kun fayakun, maka ia akan berlaku. Kita perlu segera memohon keampunan daripada Allah SWT supaya terhindar daripada azabNya dan dapat terus menjalani kehidupan dengan tenang. Bertepatan dengan firman Allah SWT:

“Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah.” (QS Al-Taghabun: 11)

Sumber: Berita Harian (19 Oktober 2018).


Comments