MUSIBAH BANJIR DI SEMENANJUNG MALAYSIA ADA PIHAK YANG MASIH PEDULI DAN BERJIHAD DEMI KE ARAH KEMANUSIAAN


Musibah banjir di negeri-negeri Pantai Timur yang berlaku sejak beberapa minggu lepas telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa. Ramai saudara-saudara kita ditimpa kesusahan, terputus bekalan makanan dan juga hubungan kerana kebanyakan jalan dinaiki air dan berada pada paras bahaya. Ini mengakibatkan banyak agensi-agensi yang ingin menghantar bantuan terpaksa menangguhkan hasrat tersebut. Pelbagai pihak, baik agensi kerajaan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat bersama dengan NGO yang lain berganding bahu mengharung air banjir demi misi menyelamatkan nyawa dan harta benda masyarakat yang terjejas dengan fenomena alam itu.

Di sinilah kita teringat kepada satu pesanan daripada Rasulullah SAW yang memberitahu kita tentang golongan manusia yang memberikan manfaat kepada insan lain sangat dicintai Allah SWT. 

Hal itu dapat kita fahami menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: "Siapakah orang yang paling disukai Allah SWT? Apakah amalan yang disukai Allah SWT? "Lalu baginda SAW menjawab:

 “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang Muslim atau engkau langsaikan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan.” (HR at – Tabrani).

Jadi, berdasarkan hadis itu memberikan kita gambaran bahawa mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha membantu orang lain yang sedang ditimpa kesusahan adalah insan berjiwa murni yang menggalas misi jihad kemanusiaan. Sesungguhnya, bukan mudah untuk membuang kepentingan diri semata-mata mahu melihat orang lain berada dalam keselesaan dan terhindar daripada malapetaka.

Inilah motivasi semangat yang perlu diingat oleh setiap daripada kita kerana segala perbuatan diri untuk membantu pihak lain yang sangat memerlukan pertolongan menepati apa yang dipesankan oleh Rasulullah. Malah, apa yang sedang bertungkus-lumus dilakukan oleh pelbagai pihak untuk misi kemanusiaan itu selaras dengan firman Allah pada surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: 

 "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)."

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masyarakat di negara kita masih tetap utuh bersikap saling membantu dalam kesusahan. Kehidupan bak cubit paha kanan, terasa di paha kiri masih tebal di sanubari masyarakat. Keadaan murni seperti ini sewajarnya dikekalkan sepanjang masa kerana ia akan membawa kepada senario sosial yang sejahtera. Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita betapa besarnya ganjaran pahala untuk mereka yang secara ikhlas murni membantu orang lain. Ini seperti dalam sebuah hadis di mana Baginda bersabda dengan maksudnya:

"Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin maka Allah melapangkan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesulitan maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya." (HR Muslim).

Sumber: Harian Metro (23 Disember 2022)


 

Comments