TERTEKAN DAN STRES? KEMBALILAH KEPADA FITRAH DAN INGATLAH ALLAH SWT AGAR HATI MENJADI LAPANG

 

Setiap manusia tidak terlepas daripada mengalami tekanan atau stres kerana ia merupakan asam garam dalam kehidupan. Bezanya hanyalah pada tahap stres yang dialami oleh seseorang itu, sama ada serius atau pun tidak. Sehubungan dengan itu, seseorang yang mengalami stres hendaklah bijak menguruskannya agar kehidupan menjadi lebih aman dan sempurna. Satu perkara yang harus kita sedari adalah stres merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini demikian kerana stres biasanya timbul apabila seseorang menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Ujian dalam kehidupan ini merupakan suatu lumrah yang diciptakan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar." (QS al – Baqarah: 155).

Masalah jiwa selalu dikaitkan dengan masalah mental, tekanan perasaan, emosi yang tidak stabil, pemikiran celaru, kelesuan minda atau apa sahaja dikaitkan dengan penyakit jiwa insan. Keadaan ini tidak boleh dipandang mudah oleh masyarakat memandangkan ia memberi kesan buruk terhadap kehidupan manusia. Bahkan ia memberi kesan terhadap nilai kemajuan dan peradaban sesebuah negara. Apabila seseorang yang mengalami stres dapat berfikir secara positif, maka ia akan dapat meningkatkan keyakinan diri, tidak berputus asa dan mampu membina keperibadian yang mantap.  

Bagi umat Islam, kita ada kekuatan akidah, iaitu keimanan kepada qada dan qadar. Keimanan ini akan mendorong seseorang itu tabah menghadapi segalanya dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa sesungguhnya sesuatu itu datang daripada Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT. Ujian Allah SWT yang dihadapi itu, hendaklah ditangani dengan positif agar ia dapat memberi kebaikan kepada semua.

Dalam Islam, semakin besar tekanan yang dihadapi, maka semakin besarlah pahala dan ganjarannya di sisi Allah SWT. Apa yang penting ialah menghadapinya dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi demi mencari ketenangan dan keredaan daripada Allah SWT. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stres ialah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Membaca al-Quran itu sahaja pun sudah boleh mendatangkan ketenangan, apatah lagi apabila cuba memahami, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran. Di samping membaca al-Quran, kita hendaklah memperbanyak zikir kepada Allah SWT. FirmanNya:

"(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah, hanya dengan zikrullah hati akan menjadi tenang." (QS ar – Rad: 28).

Sebahagian daripada kita mungkin mengalami masalah jiwa sama ada kecil atau besar. Namun, tidak seharusnya bagi Muslim yang beriman kepada Allah SWT untuk berasa tidak yakin terhadap rawatan awal sebagai pencegahan terhadap masalah jiwa yang dihadapi. Jika dirawat dengan cara yang betul, dengan izin dan kehendak Allah SWT pasti akan ada penawar dan jalan penyelesaiannya. Kepada Allah SWT kita beserah dan kepadaNya kita memohon diberikan kesembuhan.

Ketahuilah bahawa stres merupakan fitrah dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun boleh mengelakkan diri daripada tekanan. Sebaliknya, setiap dugaan yang datang merupakan ujian Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Kembalilah kepada fitrah, setiap manusia akan diuji bagi mengenal pasti mereka yang layak menghuni syurga Allah SWT. Oleh itu, umat Islam mestilah bersedia untuk menghadapi tekanan sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Semoga tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi itu akan lebih memantapkan hubungan manusia dengan Allah SWT. 

Sumber: Harian Metro (3 Ogos 2022)


Comments