AL - QURAN KITAB YANG MULIA 10 ADAB DALAM MENTADABBUR (MENGHAYATI) AL - QURAN KEPADA UMAT ISLAM

 




Al - Quran merupakan sebuah kitab yang mulia yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk panduan umat akhir zaman hingga ke hari ini. Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur. 


Allah SWT berfirman: 


"Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya." (QS As - Sad: 29). 


Perlu kita ketahui, untuk mentadabbur Al - Quran, ada adab - adab yang wajib kita amalkan. Antara adab - adab yang perlu kita amalkan adalah: 


1) Memperbetulkan mindset kita untuk mempelajari ilmu Allah SWT melalui al - Quran. 


2) Berwuduk. 


3) Menundukkan ego kita dan jangan sesekali takbur dalam mempelajari ilmu al - Quran. 


4) Menghayati setiap ayat yang ada pertanyaan daripada Allah SWT di dalam al - Quran. 


5) Selalu membelek - belek tafsir al - Quran dan memahaminya. 


6) Memutuskan segala pergantungan daripada makhluk-makhluk yang ada ketika mentadabbur al - Quran. 


7) mengamalkan perintah Allah SWT seperti yang di catatkan di dalam al - Quran. 


8) Mengakui kelemahan diri. 


9) Menyebarkan ayat yang kita fahami kepada orang lain untuk nawaitu untuk berkongsi ilmu. 


10) Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. 


Selain semangat kita berkobar-kobar dalam memelihara kesucian al - Quran atas insiden pembakaran al - Quran baru-baru ini, tindakan kita juga harus selari ke arah yang lebih positif, iaitu mentadabbur al - Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: 


“Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya." (QS An - Nisa: 82). 


Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Kerana itulah Allah SWT berfirman: 


"Dan sesungguhnya Kami permudahkan al-Qur’an itu untuk diambil peringatan daripadanya; maka adakah yang mahu mengambil peringatan?" (QS Al - Qamar: 17). 


Justeru, umat Islam digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya. Oleh itu, kita perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT. 


Sumber: Harian Metro (24 Mac 2020)

Comments