Mutakhir ini, banyak kes kekejaman dan tidak berperikemanusiaan berlaku di negara ini yang berpunca akibat arak dan judi. Ada pihak merasakan apabila mengambil arak dan judi, ia tidak memberi kesan kepada orang lain secara mata kasarnya. Namun, akibatnya kelak akan membabitkan orang lain di sekeliling hingga pada satu tahap akan mengorbankan nyawa insan yang tidak bersalah. Bukankah Allah SWT telah memberi amaran di dalam surah al – Maidah, ayat 90 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Jika kita perhatikan banyak kes yang berlaku kerana arak, antaranya kemalangan akibat pemandu mabuk hingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Disebabkan arak juga, pergaduhan tercetus antara orang yang mabuk dan tidak sedar terhadap tingkah lakunya. Bagi yang berjudi pula, duit dan harta akan habis dalam sekelip mata kerana sifat tamak. Malah lebih teruk, harta dan wang ringgit isteri serta anak turut digunakan secara paksa. Bukan itu sahaja, dek kerana arak dan judi juga keganasan rumah tangga sering berlaku hingga menyebabkan pengabaian dan kesan emosi yang teruk kepada anak-anak. Firman Allah SWT:
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya…" (QS al – Baqarah: 219).
Ingatlah, jangan kita biarkan arak dan judi menjadi satu ketagihan sehingga menyebabkan kesan buruk menimpa diri baik di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Bersamalah kita berusaha menjalani alur kehidupan duniawi sejajar ajaran Rasulullah SAW dan menepati tuntutan Ilahi.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment