BERSIH DAN SUBURKAN JIWA DENGAN PERASAAN KASIH SAYANG

 


Setiap manusia di atas muka bumi ini sudah pasti mempunyai perasaan kasih dan sayang. Kasih sayang merupakan satu perasaan yang suci dan murni terlahir dari hati. Namun sebagai Muslim, kita sudah dituntut dalam agama Islam untuk tidak bermusuhan sebaliknya menyuburkan kasih sayang di dalam jiwa. Ini seperti mana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW agar umatnya bersifat kasih sayang dan belas ihsan kepada makhluk lain. Daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

 "Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (HR Abu Daud dan at – Tirmidzi).

Selain itu, Rasulullah SAW juga menyuruh kita berkasih sayang sehingga ulama hadis menjadikan pembacaan riwayat hadis ini sebagai adat kebiasaan pada awal majlis mereka dengan tujuan supaya kita sentiasa memulakan sesuatu pertemuan dengan kasih sayang dan tidak mudah merendah, menghina, mencaci atau mengeji orang lain. Kita perlu menarik manusia ke arah kebaikan dan mendoakan mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Inilah sifat sejati orang Mukmin, lebih-lebih lagi mereka yang menuntut ilmu. Orang yang bersifat kasih adalah mereka yang mempunyai rasa kasih dan belas terhadap makhluk Allah di dalam hatinya terutama sesama Muslim, sebagaimana sifat sahabat Nabi SAW yang digambarkan dalam al-Quran: 

 "Bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)." (QS al-Fath: 29).

Bahkan, Rasulullah SAW turut menegaskan di dalam sebuah hadis:

 "Sesungguhnya yang Allah kasihi daripada kalangan hamba-Nya ialah orang yang bersifat kasih sayang." (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, bersih dan suburkanlah jiwa kita sebagai seorang Muslim dengan perasaan kasih sayang di dalam diri agar hidup kita sentiasa mendapat keredhaan daripada Allah SWT dan kita dihindari dari perkara-perkara yang tidak baik. 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments