INSIDEN PEMBAKARAN AL - QURAN OLEH AHLI POLITIK SWEDEN : BERSOLIDARITI DEMI KEDAULATAN ISLAM ITU BAIK TETAPI JANGAN SAMPAI ADANYA SIFAT GHULUW (MELAMPAU)
Insiden pembakaran al - Quran oleh seorang ahli politik Sweden beberapa hari yang lalu telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah terdapat beberapa insiden yang sama berlaku di negara-negara barat yang lain.
Insiden tersebut mendapat kecaman pelbagai pihak di seluruh dunia termasuklah Malaysia sehingga akan diadakan bantahan di hadapan kedutaan Sweden pada 27 Januari (esok) selepas solat Jumaat.
Ya, tidak dinafikan perlakuan itu sangat melampau dan tidak salah untuk kita mengadakan bantahan secara aman bagi menunjukkan rasa protes terhadap perlakuan ahli politik terbabit. Akan tetapi perlu diingatkan, dalam kita bersolidariti, umat Islam dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan agama kita agama Islam.
Tidak dinafikan memang kita marah dan kecewa dengan tindakan melampau itu, tetapi ia bukanlah tiket buat kita untuk menunjukkan protes secara ekstrim dan melampau. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”. (HR Bukhari).
Justeru, umat Islam disarankan agar tidak melampaui batas dalam menunjukkan rasa protes kerana ini akan mencemarkan kedaulatan Islam dan umat Islam boleh dilihat sebagai eksterimis dalam agama. Bahkan Rasulullah SAW juga telah mengingatkan para umatnya untuk menjauhi sebarang sikap ghuluw di dalam agama seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, jauhilah sikap ‘ghuluw’ (melampaui batas) dalam agama. Sesungguhnya perkara yang membinasakan umat sebelum kalian adalah sikap ‘ghuluw’ mereka dalam agama” (HR an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).
Tidak salah untuk bersolidariti, tetapi jangan sampai mencemarkan kedaulatan agama Islam atas sikap ghuluw sesetengah pihak yang cuba mencemarkan imej Islam. Jangan terikut-ikut budaya yang tidak sihat itu
Sumber: Harian Metro (20 Ogos 2022)
Comments
Post a Comment