Tidak salah untuk seorang Muslim hidup dalam arus permodenan. Bak kata orang, hidup mengikut peredaran zaman. Akan tetapi, satu perkara yang kita perlu ingat adalah agama Islam wajib diletakkan di hadapan. Nabi SAW bersabda:
"Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik." (HR Tirmidzi).
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan beredarnya video tindakan seorang wanita bertudung memegang tin dipercayai minuman keras boleh menimbulkan fitnah dan buruk sangka sekali gus mencemarkan imej wanita Muslim dan agama Islam. Seharusnya dalam hal ini, seseorang itu tidak seharusnya ada rasa sombong dan ego dengan maksiat yang dilakukan dengan mempamerkannya sedangkan Allah SWT sudah menyembunyikan aib mereka.
Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya." (QS an - Nahl: 90).
Oleh itu, umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia. Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.
Sumber: Harian Metro (4 Mac 2021)
Comments
Post a Comment