JANGAN MUDAH MENYAKITI PERASAAN ORANG LAIN SESUKA HATI SENTIASA AWASI LIDAH SERTA JARI – JEMARI KITA
Islam itu indah dan keindahan Islam itu terletak pada adab dan akhlak yang mulia. Antara adab dan akhlak yang dianjurkan dalam Islam ialah menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi sesama Muslim. Menjaga hati orang lain yang dimaksudkan di sini adalah selama mana tidak berkait dengan pelanggaran asas akidah dan hukum syarak. Etika Islam yang cukup halus ini hakikatnya adalah antara asas penting dalam agenda penyatuan dan perpaduan ummah. Bersatu padu bukan sekadar sedap diucapkan lidah semata-mata, bahkan ia memerlukan jalinan kerjasama yang benar-benar erat antara lidah dan hati. Ini kerana lidah yang tidak dikawal mampu melukakan hati, manakala hati yang luka mampu mengeruhkan suasana menjadi porak-peranda.
Realitinya, keadaan porak-peranda dan huru-hara yang berlaku dalam masyarakat manusia banyak berpunca daripada lidah yang akhirnya disertai tangan atau tindakan. Lebih membimbangkan apabila lidah yang tidak dikawal ini semakin mudah kini diterjemahkan melalui pelbagai media sosial. Tabiat suka mengaibkan, mencerca atau memburukkan peribadi orang lain ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dihentikan segera. Rasulullah SAW bersabda:
"Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencaci, melaknat, bersifat keji mahu pun bermulut celupar." (HR at – Tirmidzi).
Islam sangat melarang kita sebagai umatnya daripada melakukan perbuatan menghina dan mencaci orang lain, sekalipun dia sudah meninggal dunia. Kerana sekiranya dia masih hidup, kita pasti akan menyakiti hatinya dan sekiranya dia sudah meninggal dunia pula, kita pasti akan menyakiti hati ahli waris, saudara-mara atau kaum kerabatnya. Menjaga hati orang lain ini amat dititikberatkan oleh Rasulullah SAW. Baginda hanya akan menyebut kesalahannya tanpa menyebutkan nama orang tersebut jika mahu menegur seseorang secara umum. Menjaga perasaan orang lain juga ditekankan walaupun dalam bergurau senda.
Justeru, jaga lidah dan jari-jemari kita daripada mudah menyakiti orang lain. Menjaga hati orang lain selama mana tidak berkait dengan pelanggaran akidah dan syariat merupakan asas kepada akhlak mulia serta agenda perpaduan masyarakat. 'Aisyah RA berkata: Nabi SAW bersabda:
"Janganlah kalian mencaci orang-orang yang telah mati kerana mereka telah pun berserah diri terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (HR Bukhari).
Sumber: Harian Metro (15 Januari 2023)
Comments
Post a Comment