Mutakhir ini, begitu ramai sekali umat Islam yang saling berbalah di antara satu sama lain. Tidak hanya di suasana nyata, malah ia turut berlaku di dunia maya di mana mereka berbalah hanya kerana perkara yang remeh. Perkara itu secara tidak langsung menimbulkan atau mewujudkan satu perasaan saling membenci di antara satu sama lain. Bukankah di dalam Islam telah diajarkan kepada penganutnya untuk saling berdamai dan mengukuhkan lagi kewibawaan agama Islam? Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari.” (HR Bukhari).
Apa yang kita dapat jikalau kita sebagai seorang Muslim jika saling membenci? Dosa besar! kerana sesama umat Islam itu saling bersaudara dan saudara itu tidak saling membenci. Ibarat satu jasad, jika salah satunya sakit maka keseluruhan anggota jasad yang lain juga akan sakit. Begitu jugalah apabila kita membenci Muslim yang lain ibarat kita membenci diri kita sendiri. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.” (HR Imam Ahmad).
Ingatlah, kebencian itu adalah satu perasaan yang buruk dan Rasulullah SAW telah melarang kaum Muslimin dari benci-membenci sesama mereka yang bukan kerana Allah SWT, sebaliknya disebabkan hawa nafsu. Ini kerana kaum Muslimin itu adalah bersaudara yang saling berkasih sayang. Firman Allah SWT:
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (QS al – Hujurat: 10).
Justeru, wajib ke atas setiap Muslim untuk menasihati dirinya sendiri dan berjaga-jaga terhadap rasa benci semata-mata kerana hawa nafsu dan berdamailah dalam usaha untuk mengukuhkan agama Islam. Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh Islam.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people@utm
(https://people.utm.my/ajmain/2015/12/26/koleksi-hadis-111-jangan-saling-membenci/)
Comments
Post a Comment