PELIHARA KESUCIAN AGAMA ISLAM URUSAN AGAMA ISLAM TIDAK SEHARUSNYA DIPERKOTAK-KATIK DAN DIPERLEKEHKAN
Baru-baru ini kecoh tentang sebuah video yang ditularkan dari negara seberang menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan seorang wanita berpakaian serba hitam sedang menyanyi lagu irama dangdut disertakan dengan tarian yang agak mengghairahkan di majlis pengajian agama. Allahuakbar! Apa yang telah terjadi?! Nampaknya agama Islam semakin diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, sebuah video lain juga turut ditularkan berkenaan upacara sebuah agama lain yang melaungkan azan. Ini semakin parah dan meresahkan umat Islam.
Islam adalah addin diredai Allah SWT sebagai suatu cara atau panduan hidup yang sudah lengkap dan sempurna serba-serbinya untuk mengatur serta menyusun kehidupan manusia sejagat. Jadi, ia tidak seharusnya diperkotak-katik dan diperlekehkan oleh orang lain lebih-lebih lagi umat Islam itu sendiri. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam..." (QS Ali ‘Imran: 19).
Pengiktirafan Allah SWT tentang kedudukan Islam tidak boleh diragui sama sekali. Setiap umat Islam yang mengaku dirinya beriman dengan Allah SWT dan RasulNya tidak boleh meragui kebenaran ajaran Islam. Ketinggian ajaran Islam perlu sentiasa dipelihara oleh setiap umatnya. Bukan sahaja dengan memelihara setiap tingkah laku, malah turut melibatkan hal seperti mengulas sesuatu perkara yang boleh mencalarkan nama baik Islam apatah lagi jika ada pihak yang cuba memperlekehkan urusan agama Islam. Kita perlu memelihara kesucian agama Allah SWT ini daripada terus dipermainkan.
Mahukah kita ditimpa musibah atas asbab tidak menjaga dan memelihara kesucian agama Islam? Allah SWT menegaskan dalam al-Quran akan nasib orang yang beriman kepadaNya dan akibat buruk orang yang kufur kepada-Nya melalui firman-Nya dalam surah al-A'raf, ayat 96 yang bermaksud:
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
Justeru, setiap Muslim diwajibkan supaya menimba ilmu Islam daripada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW dalam usaha untuk memelihara kesucian agama Islam dari terus diperlekehkan. Pada masa sama, pihak kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama-sama dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat, amalan khurafat dan kes penghinaan agama ini. Dengan adanya permuafakatan yang padu antara umara dan ulama, barulah usaha untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam ke mercu kejayaan menemui hasilnya.
Sumber: Harian Metro (20 Ogos 2022)
Comments
Post a Comment