AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN ELEMEN PROVOKASI YANG BOLEH MENIMBULKAN SALAH FAHAM DAN KETIDAKHARMONIAN DALAM MASYARAKAT
Keharmonian dalam sebuah masyarakat wajib dipelihara. Antaranya adalah dengan tidak melakukan tindakan bersifat provokasi sama ada terhadap agama lain mahupun bangsa lain. Islam juga menitikberatkan komunikasi yang baik, dakwah secara harmoni tanpa ada sebarang bentuk kekerasan dan paksaan di mana segala tindakan (perbuatan atau perkataan) tidak membawa kepada salah faham yang merosakkan imej Islam sehingga memberi ruang untuk berlakunya ancaman keselamatan dalam negara.
Sebagai contoh, baru-baru ini berlakunya perarakan oleh sekumpulan pemuda dari sebuah parti politik yang berimejkan pakaian dan senjata peperangan beserta dengan slogan yang menampakkan semangat seolah-olah provokasi ke arah keganasan. Masalah perkauman dan agama bukanlah isu baharu yang sering dijadikan alat politik tetapi ia semakin membarah dan bahaya kepada keharmonian jika tidak dibendung. Lebih membimbangkan budaya ekstremisme jelas terpampang.
Anak-anak muda juga dilihat semakin berani menunjukkan slogan kebangkitan agama melalui seruan keganasan dalam pelbagai medium sama ada secara sedar mahupun tidak. Sedangkan sebagai sebuah negara majmuk berbilang bangsa dan agama, segala fahaman berbaur rasisme (agama, bangsa, politik) mahupun provokasi perlu dielakkan dan mestilah dihapuskan serta-merta. Malaysia akan musnah andai kita memilih untuk berpaut dengan ‘benih’ keganasan dalam kehidupan. Pemikiran Islam di Malaysia akan terus mundur dan kontang nilai-nilai kemanusiaan sejagat dalam kehidupan beragama.
Justeru itu, elakkan sebarang perkara yang boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat awam kerana ia boleh menjadi bibit-bibit provokasi yang mengundang ke arah berlakunya ancaman keselamatan dan menggugat keharmonian di dalam negara.
Sumber: Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM dan The Malaysian Insight
Comments
Post a Comment