Tidak dinafikan negara kita Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan kepelbagaian perayaan. Malah, agama Islam juga turut tidak melarang umat Islam untuk meraikan kepelbagaian perayaan lain sebagai tanda meraikan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Akan tetapi, jangan salah faham apabila meraikan itu tidak sama seperti menyambut. Seperti yang tular di media sosial apabila ada segelintir umat Islam yang bersama-sama menyertai perarakan Thaipusam di Pulau Pinang yang mengundang kekecewaan Mufti negeri terbabit. Ketahuilah, perbuatan itu sama seperti menyambut.
Allah SWT melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain berdasarkan surah al-Kafirun yang kebanyakan kita menghafalnya. Apatah lagi dengan mengunjungi tempat ibadat mereka di hari perayaan mereka dengan alasan perpaduan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud).
Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya sama ada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:
"Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.” (HR At – Tirmidzi).
Harus diingatkan, bahawa diharamkan bagi Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini dengan melakukan perkara-perkara yang terdapat dalam agama mereka. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia termasuklah kepada yang bukan Islam. Namun, ia bukanlah tiket buat kita untuk menyambut perayaan mereka dan mengikut apa adat kepercayaan yang mereka lakukan. Cukuplah sekadar meraikan dan bukannya menyambut.
Sumber: Kolum Ad – Din, portal berita Mstar (25 Disember 2019), https://www.mstar.com.my/xpose/addin/2019/12/25/ucapan-perayaan
Comments
Post a Comment