INSIDEN BENCANA ALAM MERUPAKAN SATU TEGURAN ALLAH SWT KEPADA HAMBANYA

 

Peristiwa bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini sebenarnya adalah salah satu teguran daripada Allah SWT kepada hambaNya agar kembali ke jalan yang sebenar. Cuba kita lihat di sekeliling kita, bagaimana umat Islam semakin hari semakin hanyut dengan kenikmatan dunia tanpa langsung mengingati Allah SWT. Maka, Allah SWT turunkan musibah ini kerana Allah SWT sangat merindui kita dan mahu kita kembali ke jalanNya. 

Apa yang pasti kita sudah menghampiri akhir zaman apabila munculnya banyak petanda seperti yang dikhabarkan oleh Nabi SAW. Antara tanda akhir zaman ataupun kiamat ialah berlakunya banyak gempa bumi. Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang menyebutkan demikian. Rasulullah SAW bersabda:

 "…dan sebelum kiamat, terjadi kematian yang dahsyat dan sesudahnya pula berlaku tahun-tahun gempa bumi." (HR Ahmad).

Bumi semakin hari semakin tua dan menunggu pengakhiran, iaitu kiamat. Malangnya, manusia langsung tidak menyedarinya apatah lagi untuk menjadikannya sebagai peringatan. Setiap musibah dan ujian diturunkan perlu dijadikan iktibar dan jangan kita mempersoalkan mengapa Allah SWT memperlakukan sedemikian sedangkan kita mengetahui Dia berhak atas kekuasaannya sendiri. Ia peringatan kepada kita untuk mencapai nilai ketakwaan dan keimanan tinggi. 

Perbaikilah keimanan kita agar sentiasa berada di landasan yang benar. Sebagai orang yang beriman, perlu diyakini bahawa apa jua bencana yang berlaku bukanlah suatu kebetulan, tetapi boleh jadi ia suatu teguran supaya sentiasa mematuhi ketetapan Tuhan. Maka, perlulah segera bertaubat dengan taubat sesungguh-sungguhnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai manusia! Bertaubatlah kalian kepada Allâh dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allâh setiap hari 100 kali.” (HR Muslim).

Oleh itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar ujian – ujian seperti bencana alam membuka hati kita untuk terus beriman. Jangan sesekali bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan karut berkaitan bencana alam kerana ia boleh memesongkan akidah. Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain Allah SWT. Kita juga perlu berdoa agar mereka yang ditimpa ujian dan musibah ini diberikan perlindungan sebaiknya. 

Sumber: Berita Harian (17 Ogos 2018).


Comments