ISU PENGHINAAN CHARLIE HEBDO KE ATAS MANGSA GEMPA BUMI TURKIYE – SYRIA BUKANLAH SUATU LESEN UNTUK MEMBALAS DENGAN MENGHINA AGAMA LAIN
Sudah terang lagi bersuluh dan tidak dapat disangkal lagi tentang penghinaan majalah karikatur dari Perancis, Charlie Hebdo ini menunjukkan betapa semakin jumudnya pemikiran manusia tidak seiring dengan kecanggihan teknologi yang semakin maju. Majalah kontroversi yang terkenal dengan penghinaan ke atas Rasulullah SAW itu sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila dengan sengajanya memerli atau lebih tepat lagi menghina mangsa – mangsa runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Turkiye – Syria pada minggu lepas dengan ayat “tidak perlu menghantar kereta kebal” sambil menunjukkan karikatur struktur bangunan yang hancur.
Sebelum ini, majalah satira ini juga pernah menghina mangsa-mangsa gempa bumi di Itali pada 2016 dengan menggambarkan mereka seperti “hidangan lasagna”. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka adalah pelampau liberal yang mindanya tidak secelik dengan kemajuan teknologi yang berkembang pesat di negara tersebut. Hal ini jelas membangkitkan kemarahan rakya seluruh dunia khususnya umat Islam. Itulah ujian yang terpaksa dilalui oleh umat Islam di seluruh dunia apabila ada sebahagian manusia yang berfikiran sempit seperti pelukis-pelukis karikatur di Charlie Hebdo ini. Bahkan, ia telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dan dinyatakan di dalam al – Quran surah al – Baqarah, ayat 120 yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar".
Jadi, apa yang harus kita lakukan? Melawan dengan cara yang sama dengan menjelek-jelekkan agama mereka menerusi karikatur? Tidak sama sekali bahkan ia boleh mendatangkan dosa besar jika kita melakukannya. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Al-An’am: 108).
Justeru apa penyelesaiannya? Kita boleh membidas karikatur yang dikeluarkan mereka dengan cara memboikot hasil barangan dari negara tersebut ataupun dengan mengeluarkan kenyataan yang berunsurkan kedamaian. Umat manusia di dunia pada hari ini bukanlah seperti 50 atau 100 tahun yang dulu yang mempunyai pemikiran yang jumud. Mereka sudah pandai membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Bahkan, ada sebahagian orang bukan Islam di dunia ini sanggup melindungi umat Islam daripada ditindas.
Jadi, pengajarannya disini melawan satu penghinaan dengan penghinaan lain bukanlah yang diajar di dalam agama Islam. Ia dikira dosa besar jika kita melakukannya. Seharusnya sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kita sepatutnya menyebarkan kebaikan dengan agama Islam yang kita percaya. Sebarkan keamanan bukan kekerasan kerana agama Islam itu adalah agama yang sejahtera kepada makhluk sekelian alam.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (muftins.gov.my)
Comments
Post a Comment