ITQAN (TEKUN) DALAM SETIAP PEKERJAAN MERUPAKAN LAMBANG KEIMANAN SESEORANG MUSLIM DI DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT
Itqan (tekun) dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikit pun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.
Ajaran Islam amat menggalakkan manusia bekerja dan mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental adalah dituntut agar bekerja. Islam amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional sebaliknya menegah manusia daripada sifat malas dan meminta-minta. Bekerja boleh menjadi ibadah yang terbaik kerana ia juga merupakan sunah Nabi. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya." (HR At – Tabrani).
Di dalam ajaran Islam juga menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (QS At – Taubah: 105).
Mengapa umat Islam perlu itqan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan? Antara sebab-sebabnya adalah:
1) Untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
2) Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang tekun dalam melaksanakan pekerjaan.
3) Untuk memudahkan urusan orang lain dan sifat ini amat disukai oleh Allah SWT.
4) Membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga orang yang sambil lewa ketika bekerja.
5) Menambahkan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.
Justeru, kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Firman Allah SWT:
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (QS Al – An’am: 162).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment