Islam itu mudah, Islam itu indah. Itulah yang dapat digambarkan kepada agama Islam dari dahulu sehingga sekarang. Namun, dek kerana perilaku dan sikap sesetengah pihak, agama Islam kini dipandang serong dan diperlekehkan. Islam membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil alamin), manakala umatnya disifatkan ummatan wasatan bermaksud pertengahan, adil dan pilihan. Justeru, sebaik-baik umat adalah merealisasikan sikap dan tingkah laku Islam berperikemanusiaan, inklusif, bertolak ansur serta menyebarkan kebaikan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia bersifat kepelbagaian berkaitan adat, bahasa, budaya dan agama, pengamalan Islam perlu bercirikan rahmatan dan wasatan, sekali gus tampil sebagai entiti pelindung terhadap kepelbagaian dan kemajmukan. Bukan seperti insiden yang terjadi baru-baru ini di mana berlakunya perarakan yang kononnya bercirikan islamik tetapi menimbulkan keresahan masyarakat awam. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” (QS al – A’raf: 56).
Di dalam sesetengah perkara, Islam telah menggariskan panduan dalam kehidupan termasuk cara berpakaian dan bergaul serta akhlak. Muslim beridentiti Islam mengamalkan cara hidup sederhana dan mulia seperti ditunjukkan Nabi SAW tetapi pada masa sama, Islam meraikan adat serta budaya manusia tidak menyalahi prinsip syarak dan batasan kemanusiaan sejagat.
Kemakmuran masyarakat dan negara sangat rapat dengan nilai peradaban dipegang penganutnya. Antara sifat terpuji amat perlu diterapkan dalam masyarakat kita adalah mempamerkan imej Islam sebenar. Realitinya, nilai rahmah mengajarkan kepada kita maksud dan tujuan kehidupan. Manusia diciptakan bukan semata-mata untuk memenuhi kewajipan peribadi tetapi berperanan menjadi sumber menyebarkan rahmah kepada manusia lainnya.
Oleh itu, jadilah muslim yang menyenangkan kerana islam tidak membenarkan perilaku timbulkan kegelisahan awam. Ini kerana agama Islam sendiri melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang lain sama ada keluarga dan masyarakat sekeliling tanpa mengira perbezaan agama sebagaimana akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan ini dinyatakan di dalam al – Quran, surah al – Anbiyaa’ ayat 107 yang bermaksud:
"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
Sumber: Berita Harian (26 Februari 2023)
Comments
Post a Comment