JANGAN TERBAWA EMOSI DENGAN PROVOKASI PIHAK YANG INGIN MEMBAKAR AL – QURAN - IA MENCERMINKAN KELEMAHAN AKIDAH UMAT ISLAM DI MATA DUNIA
Memasuki tahun baru 2023, umat Islam sekali lagi digegarkan dengan tindakan provokasi membakar naskhah suci al-Quran pada 22 Januari oleh Rasmus Paludan, pelampau sayap kanan Parti Stram Kurs, setelah pernah merancang melakukan tindakan yang sama pada 14 April tahun lalu. Seterusnya, beberapa hari selepas itu satu lagi tindakan provokasi sama dilakukan ke atas kitab suci umat Islam mengambil tempat di Den Haag, Netherlands oleh Edwin Wagensfeld, ahli politik sayap kanan Belanda dan ketua pelampau anti-Islam Pegida. Sementara itu di Norway, Lars Thorsen seorang lagi pelampau agama turut bersedia dengan tindakan yang sama, seolah-olah melakukan penganiayaan ke atas al-Quran al-Karim dan perasaan umat Islam adalah acara bersiri yang mesti diadakan di atas slogan kebebasan bersuara.
Memang tidak salah sekiranya kita berdemonstrasi dalam menunjukkan rasa sayang dan rasa cinta kita kepada al – Quran, kitab suci penyuluh hidup kita. Namun, jangan sampai terlalu ekstremis dan terlihat kita ini tidak ubah seperti mereka yang kolot dan dungu. Bukankah Allah SWT melarang kita untuk tidak keterlaluan di dalam agama? Firman Allah SWT:
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.” (QS An – Nisa: 171).
Jadi, apa cara yang perlu dilakukan oleh umat Islam agar tidak dilihat kolot dan dungu seperti pihak-pihak pelampau agama sedemikian? Memelihara martabat al – Quran dengan cara menjaga, membaca dan menghafaznya. Allah SWT berfirman mafhumnya:
"Kamilah yang menurunkan peringatan (al-Qur'an) dan Kamilah yang menjaganya" (QS al-Hijr: 9).
Pemeliharaan al-Quran bukan hanya secara tulisan yang dikekalkan dalam bentuk mashaf malah dalam bentuk hafazan. Bahkan pemeliharaan dalam bentuk hafazan lebih utama kerana turut memelihara cara bacaan dan sebutan huruf al-Quran secara keseluruhannya. Umat Islam terus menerus mengekalkan kemuliaan menghafaz al-Quran. Setiap generasi di seluruh pelosok dunia pasti ada kelompok yang menghafaz al-Quran. Fakta ini memberi bukti nyata al-Quran tidak dapat dibinasakan sekalipun semua naskhahnya dibakar.
Akhir zaman ini, tindakan biadab ke atas mana-mana agama dianggap kolot dan terpisah daripada realiti. Pihak yang berbuat demikian seperti menyangkal kepesatan teknologi, kemudahan akses maklumat dan penyebarannya yang sentiasa memberi pencerahan kepada setiap pencari kebenaran. Jika pihak terbabit hanya mahu membangkitkan kemarahan umat Islam dengan menganggap umat Islam sebagai manusia gasar yang akan membalas dengan kekolotan maka usaha sedemikian pasti meleset. Umat Islam sedar jenayah membakar al-Quran merupakan sebuah lagi propaganda bagi menjauhkan mereka daripada melihat isu sebenar.
Pihak yang anti-Islam sepatutnya belajar daripada sejarah bagaimana umat Islam berjaya menghadapi fitnah dan provokasi musuh yang tidak sedikit. Kuncinya terletak pada pegangan umat Islam terhadap kandungan al-Quran dan sanjungan terhadap Rasulullah SAW sebagaimana pesan baginda:
"Aku tinggalkan dua perkara yang akan menyelamatkan kalian daripada kesesatan selama-lamanya: Kitab Allah (al-Qur'an) dan sunnah nabi-Nya SAW." (HR Malik).
Sumber: Harian Metro (7 Februari 2023).
Comments
Post a Comment