KAWAL AMARAH DI DALAM DIRI AGAR TIDAK DIKUASAI OLEH IBLIS


Marah. Setiap manusia di muka bumi ini sudah pasti mempunyai perasaan amarah, tidak seorang pun yang mempunyai perasaan yang sentiasa tenang. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tentang perkara yang tidak betul mengenai diri kita, sudah tentu timbulnya perasaan yang membuak-buak. Sememangnya di dalam agama kita dibolehkan rasa marah, namun janganlah berlebih-lebihan kerana ini akan menyebabkan diri kita ‘dikuasai’ iblis dan mungkin akan melakukan sesuatu perkara di luar dugaan dan norma fikiran manusia. 

Insiden mengenai seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental maut dibelasah selepas mengamuk dan mencederakan seorang wanita di pekarangan sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bahru Kelantan pada petang Ahad lalu seperti yang dilaporkan di kebanyakan akhbar-akhbar menjadi bukti bagaimana apabila amarah diri yang dihasuti oleh bisikan iblis lalu melakukan sesuatu di luar dugaan. Seharusnya apa yang dilakukan oleh pihak yang terlibat adalah mencari jalan penyelesaian yang lebih rasional dengan menahan lelaki terbabit dan melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. 

Islam sebagai agama indah, amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apa lagi berkelakuan baran keterlaluan. Telah banyak kali Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia. Ini seperti di dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Baginda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari). 

Oleh itu, setiap daripada Muslim disarankan tanam di dalam diri nilai kasih sayang dan menghargai hak orang lain. Sedarlah kalau kita dikuasai perasaan marah yang membuak-buak dan tidak menghiraukan perasaan itu, bermakna kita suka berkawan dengan syaitan. Tanya diri kita sendiri, apakah kita suka berkawan dengan syaitan? Sekiranya kita tidak mampu membendung amarah kita maka kita disarankan untuk selalu berzikir dan beristighfar. “Marah perlu dikawal secara holistik yang boleh dilakukan dengan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya, iaitu sekiranya dia mengucapkan: ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (HR Bukhari dan Muslim). 

Orang Islam perlu ingat, ganjaran besar pahala menanti individu yang boleh dan berupaya mengawal perasaan marah kerana ia bukanlah usaha mudah. Tanpa kekuatan dalaman manusia akan tewas dengan ‘senjata’ syaitan. Mintalah perlindungan daripada Allah SWT saat diri dikuasai oleh amarah yang tidak terbendung seperti dalam surah Al-A’raf, ayat 200 di mana Allah SWT berfirman: 

“Dan jika engkau dihasut sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” 

Sumber: Berita Harian (20 Ogos 2019).


 

Comments