MISI BANTUAN SUKARELAWAN SAR MALAYSIA KE TURKIYE - SYRIA NILAI KEMANUSIAAN SEJAGAT YANG HARUS MENJADI CONTOH KEPADA MASYARAKAT DUNIA


Seramai 70 pegawai dan anggota daripada tiga agensi keselamatan dan kecemasan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diarahkan untuk membantu mangsa kejadian gempa bumi di Turkiye pada Isnin lalu membuktikan bahawa nilai kemanusiaan sejagat masih lagi subur di hati dari kalangan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Walaupun misi ini boleh dikategorikan sebahagian daripada kerja-kerja yang diarahkan oleh Kerajaan Malaysia, namun ianya tetap dipandang sebagai salah satu kerja sukarelawan yang mulia kerana kebanyakan para anggota yang pergi menjalankan tugas ini dikira berjihad di jalan Allah SWT dan melakukannya ikhlas keranaNya. 

Sukarelawan bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia, ia sesuatu yang dekat dengan budaya ketimuran yang sinonim dengan kita. Semenjak kecil lagi kita sudah dididik dengan erti kesukarelawanan secara tak formal, dalam budaya masyarakat Malaysia yang majmuk.

Pelbagai peristiwa besar yang berlaku di dalam negara misalnya kejadian insiden banjir besar di Pantai Timur, tsunami, tanah runtuh dan kebakaran besar yang mengorbankan nyawa memotretkan bahawa masyarakat kita masih memiliki semangat kesukarelawanan yang tebal dan utuh. Dari perspektif Islam, kesukarelawanan ini adalah memberi khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT. Ia adalah amalan yang amat digalakkan oleh agama kerana ia berkaitan rapat dengan konsep fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba membuat kebajikan. Ia disebut di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Imran ayat 114 yang bermaksud:

“Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh”.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada al – Quran dan As – Sunnah, seharusnya kita harus menyokong usaha - usaha sebegini agar membuka mata masyarakat dunia bahawa setiap daripada kita harus menerapkan nilai kemanusiaan sejagat dalam menghulurkan bantuan bukan sahaja kerana hubungan diplomatik antara negara tetapi juga nilai kemanusiaan sejagat yang harus dicontohi oleh semua manusia di dunia ini. Dalam tempoh kesukaran begini, ambil peluang untuk membantu mereka yang mengalami kesusahan. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mempermudahkan urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan permudahkan urusannya di dunia dan akhirat.” (HR Muslim).

Sumber: ismaweb.net (https://ismaweb.net/2021/12/20/membantu-mereka-yang-kesusahan/)


 

Comments