Umum mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia sudah menghantar dua rombongan pasukan agensi keselamatan dan kecemasan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ke Turkiye dalam menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa runtuhan bangunan akibat kejadian gempa bumi yang melanda negara itu pada minggu lepas. Namun, apa yang menyedihkan adalah ada sebahagian daripada pihak-pihak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dengan mempersoalkan mengapa perlunya menghantar bantuan ke negara luar sedangkan rakyat di negara sendiri juga bergelut dengan kesusahan akibat banjir di beberapa tempat.
Pertamanya perlu kita sebagai rakyat ketahui adalah bantuan kemanusiaan ialah bantuan keperluan dan barangan kepada orang yang memerlukan pertolongan. Lazimnya ia bantuan jangka pendek sehingga digantikan dengan bantuan jangka panjang oleh pihak kerajaan dan institusi lain. Objektif dan fokus utama bantuan kemanusiaan adalah untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan dan mengekalkan harga diri dalam sesebuah misi kemanusiaan. Oleh sebab itu, Islam sangat menggalak dan menekankan seluruh masyarakat Islam supaya memiliki sifat prihatin dan kepedulian untuk membantu golongan yang dilanda musibah, kesusahan dan sebagainya dalam misi kemanusiaan. Bahkan, Rasulullah SAW juga menggalakkan melakukan misi kemanusiaan melalui hadis yang bermaksud:
"Sesiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah bersegera memberikan manfaat kepadanya." (HR Muslim).
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda:
"Perkara yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain. Tingkah laku yang paling disukai ialah yang menggembirakan orang lain atau meringankan bebanannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya daripada kelaparan. " (HR At – Tabrani).
Justeru, janganlah kita memandang misi sukarelawan dan kemanusiaan ini sebagai suatu yang sia-sia hanya kerana memberi bantuan yang berskala besar kepada negara luar berbanding negara sendiri. Ini kerana di negara kita sudah ada pasukan lain yang bersiap siaga menghadapi sebarang musibah seperti kejadian banjir atau kebarangkalian tanah runtuh. Perlu ditegaskan bahawa pihak yang melaksanakan misi kemanusiaan perlu mempamerkan nilai integriti tinggi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pihak benar-benar memerlukan dan tidak menjadikan penerima bantuan sebagai modal pelaris serta populariti di media sosial. Maruah dan kehormatan penerima bantuan perlu kekal terjamin kerahsiaan meskipun dalam situasi mendesak dan memerlukan.
Sumber: Harian Metro (10 Februari 2023).
Comments
Post a Comment