WAHAI UMAT ISLAM GUNAKAN SEPENUHNYA KEMUDAHAN MEDIA SOSIAL UNTUK MEMPAMERKAN KEINDAHAN ISLAM DAN MENGELAKKAN ISLAMOPHOBIA DI KALANGAN BUKAN ISLAM
Saban hari di media sosial, kita sering ditayangkan dengan adegan-adegan Islamophobia yang tidak berkesudahan dengan tujuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan imej agama Islam. Sebagai contoh, insiden pembakaran al – Quran oleh pemimpin parti Stram Kurs di Denmark yang berhaluan kanan, Ramus Paludan di Stockholm, Sweden. Ya, sememangnya kita marah dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mereka kerana mempersendakan agama suci kita, agama Islam. Hal ini sudah terang telah dinyatakan dalam surah al – Baqarah, ayat 120 yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).”
Namun begitu, apakah tindakan balasan mereka? Membalas perbuatan buruk dengan perbuatan buruk lain? Atau adakah kita mahu berdiam sahaja? Tidak sama sekali! Agama Islam dan golongan Muslim mempunyai satu kelas yang tersendiri dalam menangani gejala Islamophobia ini. Bukankah di zaman kemajuan teknologi ini segalanya di hujung jari? Sepatutnya golongan Muslim menggunakan kemudahan yang ada untuk mempamerkan keindahan Islam di mata dunia. Kita sudah mempunyai kemudahan seperti Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi terpantas, Tiktok yang boleh menaikkan ‘rating’ netizen apabila video yang dikongsikan itu tular.
Menonjolkan kebaikan dalam kehidupan seharian, termasuk di media sosial pastinya mempunyai impak tersendiri dalam dunia tanpa sempadan hari ini untuk menepis dan menangkis tohmahan Islamofobia. Mungkin tidak keterlaluan jika peranan pelbagai institusi Islam di negara ini menjadi sangat relevan untuk menangani Islamofobia. Mereka perlu meningkatkan kapasiti untuk menyebarkan maklumat kontemporari bertunjangkan Islam menerusi media sosial. Ia adalah antara wadah berkesan membudayakan penyebaran ajaran Islam sebenar kepada masyarakat dunia. Hal ini kerana kefahaman mengenai Islam sebenar harus datang daripada mereka yang arif dalam bidangnya lagi berwibawa dan di situlah letaknya kredibiliti maklumat.
Agama Islam adalah agama yang terakhir dan agama yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam..” (QS Ali ‘Imran: 19).
Maka, sekarang adalah masa terbaik untuk Muslim dan semua institusinya menjalankan gerakan besar-besaran menerusi media sosial melawan Islamofobia. Di sinilah Muslim dan institusinya mungkin diuji dan teruji, namun jika bukan orang Islam dan organisasi berkaitan bangkit menyatakan kebenaran, siapa lagi boleh diharapkan untuk memadam fitnah terhadap Islam? Jika Muslim dan institusi rasminya tidak melawan, ia akan menyebabkan agama dan umat Islam terus diperkotak-katikkan.
Sumber: Harian Metro (26 Januari 2022)
Comments
Post a Comment