WASPADALAH!!! GOLONGAN ATEIS CUBA MERACUNI PEMIKIRAN ANAK MUDA DAN MENDATANGKAN KERAGUAN TERHADAP KEBAIKAN SYARIAT ISLAM YANG DIANGGAP MENGONGKONG KEBEBASAN HIDUP


Penglibatan anak-anak muda atau belia yang tidak mempercayai kewujudan tuhan atau disebut sebagai ateis semakin meningkat. Kepercayaan golongan ini boleh menganggu ketenteraman awam dan merosakkan prinsip kehidupan beragama dan memusnahkan kepercayaan kepada tuhan yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini.

Sebagai contoh dalam laman Facebook ‘Mur Pakri’ banyak dilihat kenyataan-kenyataan yang berunsurkan ateisme malah menghina agama Islam dengan mengatakan Islam adalah ‘agama lobai atau agama kain’ yang tidak sesuai lagi di zaman moden ini. Demikianlah yang terjadi apabila kekosongan jiwa dan hati manusia tidak diisi dengan kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT. Maka hiduplah manusia bertuhankan kepada hawa nafsu yang akan memusnahkan seluruh hidupnya

Punca utamanya wujudnya golongan seperti ini ialah tidak ada didikan agama yang sempurna sehingga lemahnya  pegangan iman kepada Allah SWT. Selain itu, terlalu mementingkan diri, materialistik dan mengikut hawa nafsu, bangga dengan darjat keturunan sehingga sanggup mengasingkan agama dari kehidupan dunia, berfikiran sempit serta pengaruh ideologi dan pemikiran Barat yang begitu kuat terutamanya melalui media sosial, merupakan faktor utama yang menjadi punca seseorang mudah dipengaruhi oleh fahaman ateis.

Apabila pelbagai keraguan tentang kebaikan syariat Islam ditimbulkan oleh golongan ateis menyebabkan seseorang menjadi ragu-ragu dan tidak yakin dengan agama Islam. Kemudian, apabila terlibat dengan aktiviti yang melalaikan dan tidak berfaedah serta gemar membudayakan perkara yang bertentangan dengan Islam untuk memuaskan hawa nafsu sendiri, mereka akhirnya  terlibat dengan fahaman ateis yang berfikiran bebas dan tidak mahu terikat dengan peraturan agama.

Kewujudan kumpulan seperti ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sepi. Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman ateis yang menolak kepercayaan terhadap kewujudan tuhan bagi memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan. Sekiranya dibiarkan, adalah tidak mustahil ianya akan menjadi barah yang suatu masa nanti akan mendatangkan malapetaka yang besar terhadap pegangan akidah umat Islam.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan


 

Comments