BERHATI-HATI DENGAN IDEOLOGI DAESH YANG RADIKAL DAN SESAT!!! MENGGUNAKAN MEDIA SOSIAL UNTUK MENYEBARKAN IDEOLOGI KEGANASAN KEPADA UMAT ISLAM
Baru-baru ini gempar seketika tatkala Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa terdapat aktiviti aktif penyebaran propaganda melalui sosial media tempatan oleh kumpulan radikal yang dikaitkan dengan ISIS atau juga dikenali sebagai DAESH. Perkara ini bukanlah perkara baru, selepas tragedi 9/11 Daesh dilihat lebih menonjol daripada kumpulan teroris yang lain dalam beberapa perkara. Antaranya ialah:
i) Kemampuan memanipulasikan internet dan media sosial untuk merekrut dan sebagai platform menyebarkan propaganda radikal ke seluruh pelosok dunia;
ii) Sifat kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan Daesh itu sendiri dirakam dan disebarkan di pelbagai medium bagi menunjukkan kekuatan mereka.
Keberkesanan penyebaran propaganda Daesh melalui media sosial dilihat sebagai satu modus operandi yang berjaya menyasarkan golongan anak muda untuk merekrut dan mendoktrinkan ideologi radikal Daesh. Pakar keganasan mengkategorikan fenomena ini sebagai satu cabaran dalam Ideologi radikal Islam pada masa kini yang menimbulkan kesan buruk kepada imej Islam bukan sahaja dari sudut syariat malah orang bukan Islam dilihat menunjukkan sikap ‘Islamophobia’.
Umat Islam khususnya masyarakat Malaysia harus sedar bahawa ideologi radikal Daesh bukan sahaja menyeru ke arah keganasan, malah jelas terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Umat Islam dinasihatkan juga tidak terpengaruh dengan terma ‘jihad’ golongan Daesh kerana ternyata terma itu telah dimanipulasikan dengan niat untuk menaikkan semangat individu untuk bertindak ganas kononnya demi memperjuangkan agama.
Dari sudut falsafah akhlak juga, ektremis atau golongan pelampau agama ini dianggap sebagai golongan yang tidak berhikmah iaitu tiada sifat kebijaksanaan. Mereka ini sebaliknya berfikiran sempit, terburu-buru dan mengikut hawa nafsu dalam menghukum orang lain termasuk sesama umat Islam sendiri. Islam menekankan bahawa pembersihan jiwa manusia perlulah diberikan keutamaan dalam melahirkan akhlah yang berkualiti, seterusnya melaksanakan ‘jihad’ secara adil, cermat dan ikhlas, Namun, jihad sebenar itu bukanlah ‘jihad’ yang memfokuskan kepada peperangan mengangkat senjata semata, sebaliknya adalah peperangan melawan hawa nafsu. Renung-renungkan.
Sumber: International Journal of Islamic Thought, Vol.7- 2015dan Bahagian Perisikan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia.
Comments
Post a Comment