DAHSYATNYA SEDEKAH DI BULAN RAMADAN JANJI ALLAH SWT BUAT MUSLIM YANG MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH DI BULAN YANG PENUH KEBERKATAN



Ketibaan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bulan yang penuh dengan pengampunan dan dilipatgandakan pahala amalan menyebabkan seluruh dunia bergembira dengan ketibaan bulan yang mulia ini. Selain daripada ibadah utama yang dijalankan seperti puasa, solat berjemaah, solat sunat tarawih, solat sunat witir, qiamullai dan tadarus al-Quran, sedekah juga menjadi amalan yang sangat dinantikan oleh setiap daripada umat Islam khususnya para dermawan yang senantiasa bersedia untuk berinfak bagi tujuan ihya’ Ramadan. Firman Allah SWT:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai serratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (KurniaNya) lagi maha mengetahui." (QS al – Baqarah: 261).

Allah SWT benar-benar memuliakan orang-orang yang bersedekah. Ia menjanjikan banyak keutamaan dan balasan yang menakjubkan bagi orang-orang yang gemar bersedekah. Salah satu sebab Rasulullah SAW memberi teladan untuk lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadan adalah kerana bersedekah di bulan ini lebih dasyat dibanding sedekah di bulan lainnya. Diantara keutamaan sedekah di bulan Ramadan adalah:

1) Puasa digabungkan dengan sedekah dan solat malam sama dengan jaminan syurga. Ini sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:

“Setiap amal manusia akan diganjarkan kebaikan semisalnya sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’” (HR Muslim).

2) Mendapat pahala tambahan dari orang lain. Kita telah mengetahui betapa besarnya pahala puasa Ramadan. Bayangkan jika kita boleh menambah pahala puasa kita dengan pahala puasa orang lain, maka pahala yang kita raih akan lebih berlipat ganda. Rasulullah SAW:

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR At – Tirmidzi).

3) Bersedekah di bulan Ramadan lebih mudah berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana salah satu keutamaan bersedekah di bulan Ramadan adalah bahawa di bulan mulia ini, setiap orang lebih dimudahkan untuk berbuat amalan kebaikan, termasuk sedekah. 

Yakinlah, janji Allah itu pasti bagi mereka yang memperbanyakkan sedekah dibulan Ramadan. Oleh itu, jangan lepaskan peluang yang dikurnikan oleh Allah SWT dengan kedatangan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Ayuh sama-sama kita meningkatkan amal ibadah selagi Ramadan masih lagi berbaki, perbanyakkan sedekah selagi direzeki untuk menikmatinya. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR Baihaqi).

Sumber: Astro Awani (15 April 2022)


 

Comments