GOLONGAN LGBT SEMAKIN HARI SEMAKIN BERANI MENGINJAK KEDAULATAN ISLAM - APA PERANAN KITA?

Semakin hari semakin banyak ‘content-content’ di media sosial yang memuatnaik kandungan yang menghina agama Islam secara keseluruhannya. Baik dari segi halus mahupun dari segi nyata, perkara ini sangat mendukacitakan apatah lagi ianya berlaku di luar negara dan bahkan di dalam negara kita sendiri, Malaysia. Persoalannya, apakah peranan kita sebagai umat Islam dalam menangkis serangan ini dan memartabatkan kembali Islam di mata dunia?


Perarakan himpunan LGBTQ di hadapan pusat membeli – belah SOGO, Kuala Lumpur dan juga pertunjukan fesyen di Melbourne Australia yang mengenakan busana bertuliskan kalimah Allah SWT ternyata sangat melampaui batas norma kemanusiaan dunia yang hidup dengan berbilang agama. Walaupun ada yang menyatakan ini hak kebebasan bersuara, tetapi perbuatan melampau bukanlah lesennya. Sebagai umat Islam, adakah kita harus berdiam? Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:


“Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu.” (HR At – Tirmidzi).


Allah SWT telah mendatangkan pelbagai teguran kepada kita agar kita tidak lalai dan sentiasa menjaga kedaulatan agamaNya. Mengapa kita masih tidak menyedarinya lagi? Islam telah meletakkan kepentingan beragama hendaklah diutamakan dalam kehidupan manusia, kerana agama adalah punca kebaikan dunia dan akhirat khususnya bagi penganut Islam. Menjaga agama Islam adalah kewajipan terpenting bagi penganut Islam, kerana keyakinannya kepada penentuan Allah SWT. Firman Allah SWT:


“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya)”. (QS Ali ‘Imran: 19).


Kewajipan menjaga agama Islam bagi penganut Islam adalah perkara pertama dalam Maqasid As-Syariah mengikut sepakat (ijma’) para ulama’ Islam yang ditegaskan oleh nas Al-Quran. Menjaga agama Islam adalah turutan pertama dalam tertib Maqasid As-Syariah, mendahului kewajipan menjaga nyawa, akal, keturunan (zuriat), maruah dan harta. Membezakan Islam dengan ajaran yang lain, sama ada agama atau teori. 


Oleh itu, jalankanlah tanggungjawab dan peranan kita sebagai umat Islam dengan sesungguhnya. Jangan sesekali membiarkan agama Islam diinjak-injak sesuka hati atas nama hak kebebasan bersuara. Ini satu tindakan yang tidak normal bahkan menghina golongan Muslim secara total.


Sumber: Portal E- Dakwah, Jabatan hal ehwal Agama Islam Kelantan

Comments