ILMU DIMULIAKAN, ADAB SEBAGAI PENUNTUT DIPELIHARA BARULAH HIDUP DIBERKATI OLEH ALLAH SWT


Tarikh 20 Mac 2023 merupakan detik terutama buat semua ibu bapa dan juga para pelajar di setiap pelbagai peringkat sama ada di sekolah mahupun institusi tinggi pengajian apabila sesi pembelajaran dimulakan dengan rasminya mengikut takwim yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sudah pasti ada di antara para pelajar yang tidak sabar mahu memulakan sesi persekolahan mereka setelah sekian lama bercuti.

Dalam kegembiraan untuk kembali ke sekolah mahupun pusat pengajian tinggi, ada beberapa perkara yang harus diterapkan di dalam diri seorang pelajar iaitu adab sebagai penuntut. Jika dilihat pada hari ini, institusi pendidikan semakin terhakis kredibilitinya, kesan daripada keruntuhan akhlak dan adab yang dipamerkan oleh segelintir penuntut ilmu. Etika dan disiplin dalam meraih natijah ilmu yang benar-benar memberi manfaat serta mendatangkan keberkatan tidak lagi dihiraukan. Paksi utama pencarian ilmu pula dipesongkan untuk merebut pangkat yang tinggi, mengumpul kemegahan dan harta dunia serta mencari kemuliaan pada mata manusia.

Dalam aspek menuntut ilmu, adab dalam semua perkara diambil kira, tidak kira sama ada kepada guru atau kepada ilmu itu sendiri. Kehilangan adab akan menyebabkan hilangnya keberkatan ilmu yang dituntut. Oleh itu, sejak dari awal adab perlu diterapkan dalam jiwa agar kita tidak kehilangannya pada kemudian hari. Antara adab yang perlu diaplikasikan oleh setiap penuntut ilmu ialah mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah SWT. Hanya amalan yang ikhlas akan diterima oleh-Nya. Oleh itu, janganlah menuntut ilmu dengan tujuan mendapatkan habuan atau keuntungan dunia yang sementara.

Terdapat ancaman dalam sebuah hadis Nabi SAW sabdanya: 

"Sesiapa yang menuntut suatu ilmu daripada perkara yang diharapkan dengannya mendapat reda Allah, namun dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan satu habuan dunia, nescaya dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada Hari Kiamat kelak." (HR Imam Ahmad).

Walau dalam bidang apa jua pun pencarian ilmu itu, hendaklah diperbaiki akhlak dan niat penuntutnya demi mendapatkan keredaan Allah SWT, untuk beramal dengannya, menghidupkan syariat, mencapai taqarrub dengan Allah, menghapuskan kejahilan, menjunjung segala titah perintah Allah SWT sehingga menyampaikan seseorang itu kepada kedudukan ilmu yang tertinggi. Dengan cara ini, barulah hidup kita lebih diberkati dan dirahmati.

Semoga generasi ilmuwan hari ini sama ada daripada golongan penuntut ilmu atau pengajar, mampu memahami hakikat ilmu yang bermanfaat serta mempamerkan adab ilmuwan sehingga dikurniakan kefaqihan terhadap ilmu yang dipelajari dan berjaya mengangkat martabat ilmu serta ahlinya kepada kedudukan yang selayaknya di sisi Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (16 Mac 2023)


 

Comments