JAUHI AJARAN SESAT!!! KETAHUI MODUS OPERANDI KUMPULAN AJARAN SESAT BAGI MENGELAKKAN TERPESONG AKIDAH

 

Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil dari perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman. Di Malaysia, ajaran sesat memang telah dikesan semenjak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau bertopeng di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah. 

Lazimnya, modus operandinya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh ‘tok guru’ yang kononnya dianggap mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Kebiasaannya ‘tok guru’ akan menunjukkan kekebalannya, mendakwa boleh menghaibkan diri dari pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, berjumpa dengan Rasulullah SAW dan sebagainya dengan tujuan untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.

Walaupun zaman telah moden dan modus operandi kumpulan ajaran sesat untuk merekrut pengikutknya dengan ideologi sesat sudah acap kali digembar-gemburkan di pelbagai platform, namun mengapa masih ramai umat Islam yang terpedaya dengan kesesatan tersebut. Jika dibiarkan ianya terus membiak nescaya akan mencetuskan suasana yang bakal menggugat keharmonian dan keselamatan negara. 

Contohnya peristiwa yang berlaku di Batu Pahat suatu ketika dahulu dimana ajaran sesat yang dipimpin oleh seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menyerang Balai Polis Batu Pahat. Motifnya untuk menunjukkan kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran akibat terpengaruh dengan dakwaan ketua mereka bahawa orang yang mengamalkan ajaran tersebut menjadi kebal. Peristiwa tersebut tidak mustahil bakal berulang semula jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di kawasan mereka. Renung-renungkan.

Sumber: Buku Memerangi Ajaran Sesat – Majlis Agama Islam Kelantan


Comments