JAUHI SIFAT GHULUW (MELAMPAU) DALAM KEHIDUPAN BERAGAMA!!! SIFAT MELAMPAU DISEBABKAN KEJAHILAN DAN KEINGKARAN TERHADAP BATASAN AGAMA MENJADI PUNCA TERSESAT DARI SYARIAT ISLAM
Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.
Ajaran sesat dapat dikesan apabila al-Quran dan hadis dipertikaikan serta wujud perubahan dalam kefahaman dan syariat Islam yang diamalkan sepertimana Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka juga lazimnya cenderung mengagung-agungkan pemimpin dan guru mereka melebihi kedudukan nabi serta bersifat taasub. Oleh itu, al-Quran dan hadis serta ulama yang muktabar mestilah selalu dirujuk agar tidak terjerumus ke dalam ajaran sesat dan menyeleweng.
Jauhilah perbuatan melampau batas sepertimana yang menjadi tabiat Ahli Kitab. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 77, bermaksud: "Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) daripada jalan yang betul.". Sifat melampau disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia.
Hanya dengan keimanan kepada Allah SWT menjadikan manusia sebagai umat terbaik iaitu yang mengamalkan sifat pertengahan, tidak terlalu ekstrem atau longgar dalam kehidupan beragama. Orang yang beriman juga menjalani kehidupan berpandukan nas, hujah dan dalil yang sahih serta menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras dalam segenap urusan kehidupan. Mantapkan akidah, nescaya apa sahaja anasir negatif yang cuba memesongkan akidah pasti akan dapat dibendung.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment