KONTROVERSI FILEM ‘MENTEGA TERBANG’ - PERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM DAN UMMAHNYA DARI JARUM HALUS LIBERALISME
Dunia Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kontroversi filem “Mentega Terbang” yang sedang beredar di platform-platform media sosial tempatan yang dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam dengan fahaman Liberalisme. Filem yang berkisarkan tentang sebuah keluarga Islam yang membenarkan anak perempuan mereka mengkaji setiap kitab dari pelbagai agama selain al – Quran tentang hala tuju seseorang manusia selepas meninggal dunia ini nyata mengundang rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam kerana dikhuatiri akan mempengaruhi keimanan mereka khususnya belia Islam.
Selain itu, terdapat beberapa adegan kontroversi di mana watak utama filem tersebut yang menyatakan tidak menjadi masalah untuk seorang Muslim memakan daging khinzir dan watak seorang bapa yang mengizinkan anaknya menukar agama lain jika anaknya merasa ada kebenaran di dalam agama tersebut. Filem ini juga mengangkat kepercayaan agama Buddha dan Hindu tentang re – incarnation iaitu kelahiran semula dalam pelbagai bentuk. Ini semestinya bertentangan dengan ajaran Islam dan juga Rukun Iman kelima iaitu beriman kepada hari akhirat.
Sudah jelas dan terang bukan? Jarum-jarum halus Liberalisme mula menyusup ke dalam sanubari umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka tidak berputus asa mahu menyesatkan mereka dengan fahaman selain dari ajaran Islam dan secara terang – terangan juga mereka mahu menunjukkan bahawa agama Islam ini agama yang tidak lagi relevan di mata masyarakat. Perkara ini bukanlah suatu benda yang baru malah Allah SWT telah berfirman di dalam surah al – Baqarah, ayat 120 yang bermaksud:
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka…”
Percayalah, golongan ini tidak akan berhenti melainkan mereka sudah berjaya mempengaruhi umat Islam dengan fahaman Liberalisme mereka secara keseluruhan. Jika dilihat pada hari ini, sudah ada umat Islam yang mula meragui agama yang mereka anuti dan mempersoalkan tentang kelogikan agama tersebut. Ini sesuatu yang tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menjadi barah di dalam golongan Islam. Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (QS Ali ‘Imran: 85).
Perkara ini sesuatu yang amat serius dan perlu dipandang berat oleh semua pihak termasuk jabatan-jabatan Islam di seluruh negara dalam menangani isu penyebaran Liberalisme di kalangan umat Islam. Ini suatu perkara berat dan sebagai umat Islam kita perlu mempertahankan kedaulatan agama Islam dari terus diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya. Jadilah Muslim yang mempunyai keimanan yang teguh di dalam diri. Jangan sesekali kita membiarkan agama Islam dipandang hina dan dicemuh oleh golongan Liberalisme yang tidak putus asa untuk menyesatkan umat Islam. Allah SWT berfirman:
“Sesungguh-nya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam...” (QS Ali ‘Imran: 19).
Sumber: Harian Metro (9 September 2019)
Comments
Post a Comment