KONTROVERSI PROGRAM “ZIARAH GEREJA” SECARA TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM - HUKUMNYA HARAM KERANA TIADA MAKSUD YANG JELAS
Semakin hari semakin banyak pihak-pihak tertentu yang cuba mencabar integriti agama Islam dengan melakukan pelbagai provokasi dan juga memuat naik kandungan-kandungan yang berunsurkan sensitiviti agama Islam ke dalam media sosial. Tidak cukup dengan tayangan filem “Mentega Terbang”, kini umat Islam terpaksa berhadapan dengan satu provokasi baru yang dianjurkan oleh sebuah Organisasi bukan Kerajaan ataupun NGO iaitu program ziarah gereja yang terbuka kepada umat Islam.
Apa tujuan mereka? Memang sebagai rakyat Malaysia kita mengamalkan nilai harmoni tanpa mengira perbezaan kaum dan agama kerana ia merupakan asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Malah, Allah SWT juga berfirman:
"Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu". (QS Al-Mumtahanah: 8).
Namun dalam hal ini, menziarahi rumah ibadat agama lain dengan tiada tujuan yang jelas atau apa sahaja tujuan sekalipun adalah dilarang buat umat Islam. Ini kerana program sedemikian dibimbangi akan merosakan akidah dan mengelirukan mereka terutamanya generasi muda, kecuali untuk tujuan berdakwah. Selain itu, antara yang berpandangan hukumnya ialah haram ialah Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haitami. Para ulama’ mazhab Syafi’e menyatakan pengharamannya ialah di atas ‘illah kewujudan patung-patung. Bahkan dalam sebuah hadis turut menegah umat Islam memasuki rumah ibadat agama lain. Diriwayatkan bahawa Umar R.A berkata:
“Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.” (HR Baihaqi).
Ketahuilah wahai umat Islam, agama kita melarang kita menziarahi rumah-rumah ibadat agama lain tanpa maksud yang jelas dan hukumnya haram sekiranya dilakukan. Sudahlah agama kita diinjak dengan sewenang-wenangnya, kini puak-puak tertentu cuba mempengaruhi umat Islam untuk mempunyai pandangan seperti pemikiran liberal. Kenapa kita ke rumah ibadat lain? Sepatutnya semua umat Islam perlu mengimarahkan masjid setiap kali waktu solat, apatah lagi bulan Ramadan semakin menjelma tiba.
Janganlah kerana mahu ‘mensejahterakan’ semua kaum maka agama pun perlu digadaikan. Ingat, agama Islam mempunyai satu standard yang tinggi nilainya untuk dijaga. Jagalah agama kita agar Allah SWT memelihara kesejahteraan kita.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment