PARODI BUKAN BUDAYA DALAM ISLAM - IA SUATU BUDAYA DAN TIDAK SIHAT BAHKAN BOLEH JATUH HUKUM HARAM JIKA KETERLALUAN
Jika kita melihat ke dalam setiap laman sosial pada hari ini, begitu banyak ‘influencer’ media sosial menggunakan pendekatan mudah untuk melariskan sesuatu produk ataupun laman media sosial mereka dengan melakonkan semula adegan ataupun kita sebut sebagai parodi terhadap isu semasa. Aksi ini lazimnya, cepat dikongsi secara meluas dan mendapat jutaan 'likes', dan ada netizen memberi pelbagai komen sehingga cenderung mengaib serta memfitnah individu apabila perbuatannya ditiru.
Ketahuilah, parodi itu bukanlah budaya masyarakat Islam, sebaliknya berasal dari Barat sebagai salah satu cara mereka meluahkan perasaan tanpa ada batasan akhlak seperti mana yang dianjurkan Islam. Perbuatan ini dilihat sebagai salah satu bentuk menghina atau merendah-rendahkan martabat manusia lain dan ini sama sekali dilarang dalam Islam. Firman Allah SWT:
"Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka." (QS al – Hujurat: 11).
Islam mengajar kita untuk tidak memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan ajaran agama termasuk melakukan parodi sia-sia. Malangnya, kebanyakan mereka langsung tidak mahu memikirkan sensitiviti agama dan masyarakat majmuk sebaliknya memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan tersebut.
Islam tidak melarang apa juga bentuk hiburan, tetapi biarlah yang memberi faedah. Alangkah baiknya jika kita menghasilkan parodi yang menggalakkan masyarakat mengamalkan sunah Rasulullah SAW dan kembali taat kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun? Allah SWT berfirman:
“…janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS az – Zumar: 53).
Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam isu berkaitan parodi kerana ia bukan hanya bersangkut-paut dengan orang melakukan aksi itu, tempias juga terkena kepada individu yang menonton serta pihak yang menjadi mangsa. Bahkan, ianya boleh jatuh haram dan berdosa besar bagi mereka yang menghasilkan video parodi bagi tujuan mengaibkan seseorang. Jika ditonton secara berulang kali atau dikongsi dengan rakan-rakan yang lain maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana sengaja mempersendakan.
Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Comments
Post a Comment